Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IKIM: Salah hukum bukan Islam
Diterbitkan:  Apr 4, 2008 1:21 PM
Dikemaskini: Apr 5, 2008 5:58 AM

Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) menegaskan orang bukan Islam tidak boleh dikenakan hukuman dalam kes khalwat, menjelaskan kontroversi isu itu seperti dilaporkan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam.

"Pada pandangan kami, orang bukan Islam pada dasarnya tidak boleh didakwa bawah undang-undang Islam kerana secara faktanya mereka tidak menganut Islam.

"Tambahan pula, setakat pengetahuan saya, tidak terdapat sebarang peruntukan bawah mahkamah sivil untuk mendakwa seseorang berkhalwat, dan terlalu awal untuk mengandaikan bukan Islam harus tertakluk pada pertuduhan khalwat di mahkamah sivil," kata ketua pengarahnya Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Akhbar The Star semalam melaporkan Ikim dan Jabatan Undang-undang Syariah Malaysia mencadangkan seseorang bukan Islam yang terlibat dalam kes khalwat dengan pasangan Islamnya boleh dikenakan hukuman.

Cadangan daripada Ikim dan jabatan itu, hasil seminar dua hari semakan perundangan syariah, akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Seorang pembentang di seminar itu, menurut laporan itu, hakim mahkamah rayuan syariah Datuk Mohd Asri Abdullah berkata orang bukan Islam mungkin boleh dihukum di mahkamah sivil agar "lebih adil".

"Orang Islam akan dihukum di mahkamah syariah... tetapi kami tidak ada kuasa menghukum bukan Islam," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut The Star lagi, cadangan tersebut termasuklah meningkatkan denda dan hukuman - sehingga empat kali ganda - bagi kes-kes khalwat, pelacuran, minum arak dan berjudi.

Dalam kenyataannya di laman web Ikim, Dr Syed Ali juga menyatakan rasa kesalnya dengan laporan tersebut dan sekali gus menafikan cadangan seumpama itu pernah disuarakan.

"Berita dalam The Star ... sama sekali salah," katanya.

"Tidak ada cadangan seumpama itu dihasilkan (di seminar tersebut), maka laporan The Star yang mengutip ulasan hakim mahkamah rayuan syariah, juga salah."

Dr Syed Ali menambah, pihaknya kesal dengan laporan itu kerana memetik kenyataan remeh daripada Mohd Asri, sedangkan lebih banyak saranan kukuh yang dikemukakan, antaranya, untuk melindungi hak-hak wanita yang diceraikan, diabaikan oleh berita itu.

ADS