Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khir, Mukhriz rebut ketua Pemuda
Diterbitkan:  Apr 4, 2008 2:44 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir hari ini masing-masing mengesahkan akan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Dr Mohd Khir yang juga ahli Majlis Tertinggi, dan Mukhriz yang juga exco Pemuda berkata mereka masing-masing mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada ahli akar umbi di peringkat bahagian.

Kini cuma tinggal naib ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang belum menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan tersebut.

Semalam, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan tersebut yang disandangnya sejak 2000.

Bercakap di pusat khidmat masyarakat di kawasan parlimennya Rembau, Khairy berkata beliau menyerahkan kepada anggota akar umbi untuk menentukan sama ada beliau bertanding atau tidak jawatan nombor satu pergerakan itu.

"Sebagai naib ketua Pemuda Umno, saya mewakili sebuah institusi dan sebab itu saya tidak dapat membuat apa-apa keputusan secara terburu-buru mengikut kehendak peribadi saya.

"Saya diajar oleh Datuk Seri Hishammuddin untuk menjaga institusi, maka saya kena kembali kepada institusi iaitu kepada akar umbi (ahli Pemuda Umno cawangan dan bahagian) dan mendapatkan pandangan mereka dahulu," katanya seperti laporan Bernama .

ADS