Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Wilayah Persekutuan memberi jaminan tiada amalan diskriminasi di kawasan-kawasan parlimen yang dimenangi parti pembangkang.

zulhasnan rafique ft minister pc 260308 03 "Kita akan tentukan pembangunan di kawasan-kawasan berkenaan dilaksanakan dengan sama rata," kata Datuk Zulhasnan Rafique selepas pertemuan dengan semua ahli-ahli parlimen di Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya dan Labuan.

"Kita tidak akan melakukan diskriminasi terhadap kawasan-kawasan itu dan memberi perhatian pada masalah yang dikemukakan oleh ahli-ahli parlimen di kawasan masing-masing."

Pertemuan selama dua jam itu diadakan di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula 10 pagi tadi.

Bagaimanapun tiga ahli parlimen pembangkang tidak hadir - ketua penerangan PKR Tian Chua (Batu), menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak) dan Dr Tan Seng Giaw (Kepong).

Di Kuala Lumpur, DAP, PKR dan PAS menguasai 10 daripada 11 kerusi parlimen, sementara BN berjaya mengekalkan Setiawangsa - dimenangi Zulhasnan.

Putrajaya dan Labuan masih di tangan BN.

Bercakap kepada wartawan selepas pertemuan tersebut, ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (foto bawah: duduk tengah) mendakwa, banyak isu berkaitan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibangkitkan tetapi "tiada respons" daripada menteri.

"Orang ramai membuat aduan mengenai isu-isu seperti penjaja asing di Jalan Petaling di ibu negara dan isu-isu lain termasuk penebangan pokok di tepi jalan.

zulhasnan pakatan dbkl 040408 lo ghazali tan kok wai "Kami juga membawa isu dakwaan yang paling popular dalam DBKL iaitu mengenai rasuah dalam pihak berkuasa tempatan itu," katanya.

Wee berkata, mereka juga membangkitkan isu pembangunan yang dijalankan di Kuala Lumpur kerana didakwanya tidak mengambil kira pandangan orang ramai.

Katanya, berikutan itu, Zulhasnan memberitahu mereka bahawa DBKL akan membuat pendengaran awam dua minggu lagi untuk mendapatkan pandangan orang ramai.

"Saya dan ahli-ahli parlimen lain juga bertanyakan mengenai penswastaan khidmat mengangkut sampah dan pembersihan ibu kota yang diberikan kepada Alam Flora.

"Kita hendak tahu proses penswataan tersebut, cara kontrak diberikan dan berapa lama lagi tempoh kontrak Alam Flora," katanya.

Wee juga memberitahu, ahli-ahli parlimen pembangkang turut mencadangkan pemilihan langsung Datuk Bandar Kuala Lumpur dan bukannya melalui pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti sekarang.

Bagaimanapun, menurutnya, Zulhasnan kurang bersetuju terhadap cadangan tersebut.

zulhasnan pakatan dbkl 040408 pakatan mps Manakala ahli parlimen Cheras, Tan Kok Wai membangkitkan isu pelantikan ahli majlis penasihat DBKL kerana menurutnya kebanyakannya penyokong BN.

"DBKL kata ahli majlis penasihat terdiri daripada golongan profesional tetapi kami mendapati ada juga yang bukan profesional," katanya.

Selain perkara tersebut, ahli-ahli parlimen pembangkang juga membangkitkan isu mengapa DBKL tidak memberi layanan yang baik penjaja di kawasan pembangkang.

"Saya juga menegur DBKL kerana mengambil tindakan yang keras terhadap penjaja selepas pilihanraya umum lalu kerana ia seolah-olah sebagai mahu membalas dendam," katanya.

Tambahnya, mereka mencadangkan DBKL supaya mengeluarkan lesen kepada penjaja yang berniaga secara haram melainkan di kawasan-kawasan yang mendapat bantahan di kalangan penduduk setempat.

Dalam pertemuan itu, Tan mencadangkan supaya Kementerian Wilayah Persekutuan dimansuhkan kerana merugikan wang rakyat dan bidang tugasnya bertindih dengan jabatan dan kementerian lain.

"Kementerian (wilayah) ada pejabat di Putrajaya dan DBKL, Kita mahu ia diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM)," tambahnya.

Katanya, kementerian tersebut pernah dimansuhkan pada tahun 1990 tetapi dihidupkan semula pada 2004.

Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali pula mendakwa, ada kemudahan awam di Kuala Lumpur yang digunakan oleh BN atau Umno tetapi diselenggarakan oleh dewan bandaraya.

zulhasnan pakatan dbkl 040408 zulhasnan saravanan Beliau berkata, pihaknya akan menyenaraikan kemudahan awam tersebut supaya menteri sendiri melihatnya.

"Saya telah membangkitkan mengenai kebanjiran penjaja asing di kawasan-kawasan tertentu sehingga menjejaskan peluang penduduk tempatan.

"Saya juga menimbulkan mengenai kenaikan bayaran saman ke atas motosikal dari RM10 kepada RM100 kerana ia membebankan golongan berkenaan.

"Zulhasnan dalam jawapannya berkata, DBKL akan mengkaji perkara tersebut," kata Dr Lo' Lo' lagi.

Zulhasnan juga berkata, kementeriannya akan mengadakan persidangan meja bulat untuk semua ahli parlimen di Wilayah Persekutuan selama tiga hari mulai 17 April ini bagi membincangkan secara mendalam masalah-masalah yang berlaku sekarang.

ADS