Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun DAP dakwa ditawar RM65 juta
Diterbitkan:  Apr 6, 2008 10:12 PM
Dikemaskini: 3:53 PM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, V. Sivakumar hari ini mendakwa ada pihak membuat tawaran sebanyak RM65 juta supaya beliau meninggalkan DAP dan menyertai parti komponen Barisan Nasional.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Ipoh, beliau berkata tawaran itu jumlah tertinggi daripada pelbagai tawaran yang diterimanya sejak 9 Mac lalu, sehari selepas pilihanraya umum, daripada beberapa pihak yang mendakwa mewakili BN.

"Kalau saya setuju masuk BN, mereka tawarkan saya wang tunai antara RM10 juta dan RM65 juta serta jawatan exco dan jika saya bimbangkan keselamatan diri, mereka turut menawarkan kawalan polis 24 jam dan membantu saya berpindah ke luar negara bersama keluarga pada bila-bila masa," katanya.

Bernama memetik Sivakumar sebagai berkata beliau mengambil keputusan membuat laporan polis kerana tertekan dengan gangguan yang diterima terutama sejak akhir-akhir ini.

Beliau mendakwa semakin kerap panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) diterimanya termasuk apabila ada pihak yang dikenalinya berkunjung ke rumahnya di Taman Kledang Emas.

Beliau membuat laporan polis pada jam 11 pagi ini dengan ditemani naib pengerusi DAP M Kulasegaran serta beberapa wakil rakyat parti itu.

'Jadi orang tengah'

"Saya berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera menyiasat perkara ini kerana perkara sama turut dialami oleh ramai wakil rakyat PAS dan PKR.

"SMS terbaru diterima semalam yang menyebut bahawa seorang wakil rakyat DAP dan seorang wakil rakyat PKR sudah menyertai BN dan menjemput saya supaya turut serta," katanya.

Kulasegaran yang juga ahli parlimen Ipoh Barat turut mendakwa beliau telah menerima panggilan telefon daripada beberapa pemimpin BN dikenalinya yang membuat tawaran RM5 juta supaya menjadi orang tengah untuk memujuk wakil-wakil rakyat DAP menyertai BN.

"Panggilan berkenaan diterima dalam tempoh beberapa hari selepas pilihanraya umum lepas tetapi selepas saya beritahu akan membuat laporan polis, mereka tidak lagi menghubungi," katanya.

Kulasegaran berkata wakil-wakil rakyat DAP bukan untuk dijual dan perkara seperti ini adalah gangguan yang serius dan diharap polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

Beliau berkata laporan polis akan turut dibuat oleh beberapa wakil rakyat DAP berkenaan perkara yang serupa selepas ini.

ADS