Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kami tidak perlukan Dr Mahathir'
Diterbitkan:  Apr 9, 2008 6:19 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

Pakatan pembangkang tidak memerlukan tokoh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjuarai perjuangan mereka, kata pengerusi DAP Karpal Singh.

mahathir malaysiakini interview 070207 "Dr Mahathir sewajarnya berhenti berperanan sebagai jurubicara tidak tentu hala," katanya, dipercayai mengulas surat mantan perdana menteri itu semalam di sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

"Tiba masanya beliau berdiam diri dan biarkan barisan pembangkang mengawasi kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi."

Dengan 82 ahli parlimen, pembangkang boleh berbuat demikian tanpa sokongan Dr Mahathir, katanya, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, dalam satu kenyataan hari ini.

"Dr Mahathir sewajarnya, mungkin, menghabiskan masanya bersama cucu-cucunya di ambang senja usianya," kata Karpal lagi.

Dalam surat kepada The Sun , Dr Mahathir menulis: "Bagi Param Cumarawamy dan Karpal Singh, kebencian mereka terhadap saya memang sudah diketahui umum dan nyatalah tidak surut-surut walaupun setelah saya tidak lagi menjadi perdana menteri."

Beliau juga menulis: "Jika Param atau Karpal tidak yakin (bahawa saya tidak terlibat) mereka sepatutnya menggunakan kemahiran guaman mereka untuk menutup mulut saya."

Param, bekas pegawai khas pemantau kebebasan hakim di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan Karpal menggesa mantan perdana menteri itu disiasat berhubung dakwaan campur tangannya dalam badan kehakiman ketika krisis 1988 dan juga siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1998.

karpal singh parliament 150604 Reaksi negatif dan sinis Karpal hari ini juga didorong kenyataan keras Dr Mahathir dalam surat peribadinya kepada pemimpin DAP itu baru-baru ini.

Mendedahkan surat bertarikh 3 April, Dr Mahathir menggelarkan Karpal "the most contemptible of politicians and individuals" (orang dan ahli politik yang paling hina).

Surat itu dikirim kepada Karpal sebagai jawapan kepada suratnya pada 27 Mac.

Dalam surat itu, Karpal mendakwa Dr Mahathir telah menyalahgunakan peruntukan Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan dua tribunal bagi membicarakan ketua hakim negara Tun Salleh Abbas dan hakim-hakim kanan.

"Pada pandangan saya, anda seorang diri telah memusnahkan badan kehakiman yang sehingga kini (imej baiknya di rantau ini) gagal dipulihkan," surat Karpal dipetik.

"Jadi wajarlah sangat anda memohon maaf. Tindakan anda telah menyebabkan hakim-hakim itu dan anggota-anggota keluarga mereka keperitan dan kepayahan yang sukar digambarkan."

Surat ini dikirim susulan keengganan Dr Mahathir berbuat demikian apabila wujud cadangan agar kerajaan BN memohon maaf kepada Salleh dan hakim-hakim itu atas tragedi 20 tahun lalu.

ADS