Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden PAS diserang angin ahmar
Diterbitkan:  Apr 10, 2008 12:33 PM
Dikemaskini: 6:08 PM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dimasukkan ke hospital awal pagi ini selepas mengadu berasa tidak selesa menjelang subuh.

Menurut setiausaha agung PAS, Abdul Hadi kini sedang menerima rawatan daripada pakar-pakar perubatan di hospital Kuala Terengganu dan para doktor menasihatkan beliau berehat.

hadi awang interview 040208 pondering "Beliau sendiri baru sahaja menghubungi pejabat agung PAS dan menyatakan yang keadaannya tidak membimbangkan," kata Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Agensi berita Bernama pula melaporkan, ahli parlimen Marang itu diserang angin ahmar ringan kira-kira pukul 5 pagi tadi, ketika bangun untuk bersahur bagi berpuasa sunat sebelum memberitahu anggota keluarga masalahnya itu.

Menurut anak sulungnya, Muhammad Khalil, bapanya sedang berehat dan meminta para penyokong tidak risau dengan keadaan kesihatannya.

Abdul Hadi dimasukkan ke hospital jam 7.30 pagi tadi.

Beberapa orang kenamaan yang menziarahi Abdul Hadi termasuklah menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mustafa Ali.

Petang ini, Abdul Hadi diletakkan bawah pengawasan doktor selama 24 jam untuk memastikan kesihatannya cepat pulih.

Abdul Hadi - yang ditemui Bernama di wadnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) - berkata, doktor masih belum membenarkannya pulang untuk membolehkan pengawasan dilakukan terhadap kesihatannya.

"Tak ada apa-apa... OK sahaja setakat ini, tengoklah sendiri," beliau dipetik sebagai berkata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang itu - juga ketua pembangkang di negeri itu - yang duduk di atas katil wad dillaporkan ceria ditemani isterinya Toh Puan Zainab Awang dan Muhammad Khalil, selain beberapa lagi anggota keluarga.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS