Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6:40pm Calon yang tidak disukai ahli Umno dan "isu-isu nasional", dipercayai termasuk cerita-cerita tentang perdana menteri dan pengaruh keluarganya dalam pentadbiran negara, dianggap punca banyak undi rosak di Johor.

Selain itu, kata timbalan ketua bahagian Umno Muar, Ismail Tonggak @ Ahmad, orang ramai juga benci dengan laporan media massa yang terlalu berat sebelah, memihak kepada kerajaan.

"Orang Melayu khususnya penyokong dan ahli Umno tidak boleh menerima calon BN kali ini.

"Saya tidak sangka tsunami politik di negeri lain telah menjalar ke Johor termasuk di Muar. Ini tidak pernah berlaku," katanya.

Maharani - satu kerusi negeri bawah parlimen Muar - jatuh ke tangan PAS apabila calon BN-Umno Datuk Mohd Ismail Mohd Shah, yang juga ketua bahagian, tewas dengan majoriti 158 undi.

Mohd Ismail menang dengan kelebihan 6,612 undi pada 2004.

Selain kerusi ini, PAS menang di Sungai Abong bawah parlimen Bakri yang jatuh ke tangan DAP. Empat kerusi negeri yang dikuasai parti pimpinan Karpal Singh di Johor: Bentayan, Mengkibol, Skudai dan Senai.

Ditanya sama ada "isu nasional" itu termasuk rungutan orang ramai terhadap kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pengaruh menantunya Khairy Jamaluddin, beliau enggan mengulas.

Isu-isu nasional lain yang disebut-sebut mempengaruhi pengundi Johor termasuklah projek pelaburan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) - didakwa menguntungkan Singapura - dan kenaikan harga barang keperluan.

Ismail berkata, pengundi mahukan calon yang mesra rakyat dan boleh menganggap wakil rakyat sebagai kawan mereka.

Beliau berkata, rata-rata mereka mahukan wakil rakyat yang mempunyai ciri-ciri seperti Tan Sri Lee Lam Thye, ahli parlimen popular DAP pada 1970-an dan 1980-an.

Lee, yang meninggalkan DAP pada 1990, sekarang pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN).

Katanya, ramai orang Umno sendiri yang menolak calon dari parti itu kerana tanda memprotes.

"Saya syak sama ada mereka tidak pergi mengundi atau mengundi calon pembangkang," katanya.

Ismail memberikan bukti apa yang berlaku kepada ahli parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim, yang merosot majoriti sebanyak 6,000 berbanding pilihanraya umum 2004.

Katanya, Umno Muar mempunyai kira-kira 24,000 ahli tetapi ketua Pemuda Umno negeri itu mendapat lebih 16,986 undi.

"Ke mana perginya 5,000 dan 6,000 pengundi Umno kali ini?" katanya lagi.

Razali mendapat 21,116 undi pada 2004 dan menang dengan majoriti 13,415 undi. Pada pilihanraya lalu, beliau menang dengan 4,661 undi.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan 321,885 undi rosak ketika pilihanraya ke-12 dengan Johor merekodkan jumlah tertinggi.

Di negeri selatan itu, 28,709 dan 25,455 undi rosak masing-masing direkodkan di 26 kerusi parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

ADS