kemaskini 6:26pm Datuk Seri Mohd Najib Razak meminta orang ramai supaya tidak melayan "khabar angin" kononnya terdapat gerakan dalam kalangan Umno Kedah dan Pulau Pinang yang mendesak supaya Abdullah berundur.
Menurut laman web Utusan Malaysia hari ini, Najib berkata, laporan itu "tidak benar" kerana segala perasaan tidak puas hati di kalangan ahli Umno akan ditangani secara dalaman.
Malaysiakini
semalam melaporkan tekanan terhadap perdana menteri semakin meningkat - dengan pemimpin-pemimpin Umno Kedah pula mengkritik kepemimpinan beliau selepas Johor.
Dalam satu pertemuan tertutup 15 bahagian dengan jawatankuasa pengurusan parti yang diketuai Najib, mereka menyalahkan Abdullah atas ketewasan teruk parti itu, termasuk kehilangan Kedah kepada Pakatan Rakyat.
Difahamkan, ada beberapa pemimpin mendorong Najib mengambil langkah mencabar Abdullah dalam pemilihan Umno pada 16-20 Disember.
Menurut sumber-sumber Umno negeri, mesyuarat antara dua hingga tiga jam di sebuah kelab di Sungai Petani menyaksikan perdebatan panas, termasuk nada menyalahkan presiden Umno itu, sehingga memaksa Najib mententeramkan keadaan.
Melaporkan perkembangan pertemuan Najib dengan ketua-ketua bahagian di negeri itu dan Pulau Pinang, akhbar The Star hari ini menyebut, pemimpin-pemimpin akar umbi Umno memaklumkan kepada jawatankuasa pengurusan bahawa parti itu memerlukan barisan kepemimpin baru untuk menyelamatkan parti.
Di Kedah, kira-kira 250 ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian dilaporkan "pergi lebih jauh dengan mencadangkan siapa yang harus dipilih untuk jawatan presiden dan timbalan presiden."
