Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ratusan pelarian hadapi kebuluran
Diterbitkan:  Apr 11, 2008 5:24 PM
Dikemaskini: 6:42 PM

kemaskini 11:05pm Beratus-ratus pelarian menghadapi masalah makanan dan mungkin mengalami kebuluran selepas lari semakin jauh ke dalam hutan susulan siri serbuah pihak Rela akhir-akhir ini, dakwa Tenaganita.

"Wanita dan kanak-kanak pelarian kini meninggalkan rumah masing-masing dan berpindah semakin jauh ke dalam hutan bagi mengelakkan tangkapan dan penahanan oleh Rela dan jabatan Imigresen," kata pengarahnya Dr. Irene Fernandez

"Dalam keadaan penuh ketakutan dan tidak pasti, beratus-ratus orang pelarian sedang menghadapi risiko kurang makanan dan terdedah kepada penyakit di hutan."

Menurut badan pembela hak-hak buruh asing itu, sejak beberapa minggu kebelakangan, pihak berkuasa Malaysia sedang meningkatkan serbuah di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kepadatan orang pelarian dan pencari perlindungan.

"Serbuan ini cukup tersusun dan dirancang rapi. Ia dijalankan di siang hari, dini hari dan tengah malam, ketika pihak berkuasa telah pasti orang-orang pelarian berada di dalam rumah atau pulang dari kerja," katanya dalam satu notis tindakan segera kepada pihak-pihak berkenaan semalam.

Irene berkata, turut terlibat dalam perpindahan tergesa-gesa ini bayi dan anak-anak kecil, sementara orang dewasa yang cuba mengelak tangkapan mengalami kecederaan sewaktu cuba memboloskan diri.

Rumah ditinggalkan kosong dan barang-barang mereka tidak sempat diambil bersama, tambahnya.

"Laporan-laporan daripada anggota masyarakat pelarian yang terlepas tangkapan menyebut, kanak-kanak yang berada di rumah ketika serbuan turut ditangkap," katanya.

Beliau bimbang tangkapan besar-besaran sejak beberapa minggu ini boleh menyebabkan kem tahanan bertambah padat dan memburukkan lagi keadaan di kem.

"Kanak-kanak juga terpisah daripada ibu bapa, khususnya jika dia ditangkap tanpa ibunya.

"Menurut seorang wanita Rohingya, anak lelakinya, 2, kini berada dalam kem tahanan, ketika anak itu bersama bapanya ditangkap dalam suatu serbuan.

"Kami sangat bimbang penahanan bayi dan anak kecil tanpa ibu mereka kerana selalunya mereka tidak terurus dengan baik selayaknya perhatian yang wajar untuk budak-budak kecil," kata Irene.

"Ibu bapa mungkin tidak bertemu kembali dengan anak-anak mereka."

Selain tangkapan, mereka juga boleh dikenakan hukuman, katanya.

"Terdapat satu kes remaja lelaki, 15, dikenakan hukuman rotan atas kesalahan tersebut."

"Akibat serbuan yang sedang dijalankan, kini semakin susah menyalurkan bantuan kemanusiaan kerana orang pelarian tidak boleh terlibat. Mereka seolah-olah hilang dan sukar dihubungi, maka menjadi semakin lemah," katanya.

Melalui notis itu, Tenaganita menggesa orang ramai menulis surat keprihatian kepada pihak-pihak berkuasa Malaysia menyatakan bantahan dan perasaan ambil berat, serta menyeru kepada kerajaan, masyarakat antarabangsa dan Suruhanjaya Tinggi Pelarian PBB untuk memastikan hak pelarian diiktiraf dan tangakapan tidak wajar dihentikan serta-merta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS