Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7:45pm Badan perhubungan Umno Johor menyarankan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyediakan "pelan tindakan peralihan" pengganti beliau.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini , dalam pertemuan lebih dua jam, pelan tersebut dikemukakan sebagai persiapan awal Umno menghadapi pilihanraya umum akan datang.

pak lah and umno 60th anniversary celebration in johor Tempoh peralihan itu tidak ditetapkan masanya tetapi ia mesti juga dibuat.

Perkara itu disuarakan sendiri oleh menteri besar dan ketua badan perhubungan Umno Johor, Datuk Abdul Ghani Othman kepada Abdullah.

Menurut sumber, Abdul Ghani berkata: "Pelan (pengganti Abdullah) itu (disarankan) supaya orang berasa lega dengan kepemimpinan parti (Umno)."

Cara Umno negeri itu menyampaikan saranan kepada Abdullah dan parti tidak sekeras Umno Kedah dalam pertemuan dengan jawatankuasa pengurusan parti semalam, kata sumber lagi yang turut hadir dalam majlis tertutup itu.

"(Cara bersuara) ini budaya orang Johor.

"Kita (Umno negeri) sayangkan perdana menteri tetapi perdana menteri perlu juga melihat mood ahli Umno (negeri)," kata sumber.

Bercakap selepas Abdul Ghani, menurut sumber itu lagi, seorang anggota badan perhubungan negeri menambah bahawa majlis penerangan sahaja tidak memadai kerana "orang (ramai) tidak mahu mendengar".

Beberapa lagi ketua bahagian mendesak pelan peralihan dilakukan segera.

"Pelan peralihan itu adalah penyelesaian segera dan perlu dimaklumkan kepada orang ramai," kata seorang daripadanya.

Perdana menteri dilaporkan berkata beliau "akan memikirkannya" tetapi "beliau tidak boleh memberitahu" sesiapa.

Isu utama lain yang menjadi perbincangan di Johor Bahru hari ini ialah bedah siasat punca-punca kekalahan.

Abdullah juga dilaporkan berkata, beliau adalah antara punca kemerosotan prestasi BN pada pilihan raya umum lalu.

Beliau juga mengakui bahawa terdapat beberapa negeri mendesaknya melepaskan jawatan sebagai memikul beban kekalahan terburuk BN dalam sejarah pilihanraya.

abdul ghani othman and bangsa malaysia multicultural malaysia Turut hadir di pertemuan itu, menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Muhyiddin Yassin (juba naib presiden Umno), menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

Ketua Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak hadir kerana ada urusan rasmi di luar negara.

Media sebelum ini melaporkan pertemuan hari ini menjadi fokus utama selepas negeri itu dikhabarkan akan memberi "nasihat" kepada presiden Umno agar berundur secara terhormat susulan kekalahan besar-besaran BN pada pilihanraya umum 8 Mac.

Sebahagian besar daripada 26 ketua bahagian Umno di Johor mahu Abdullah mengambil cuti daripada menjalankan tugas perdana menteri dan presiden parti bagi meredakan kemarahan ahli Umno ekoran kekalahan itu.

Menurut mereka, Abdullah perlu bercuti dan menyerahkan tugasannya sekarang kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Idea tersebut dibincangkan dalam perjumpaan kira-kira 20 ketua bahagian dengan menteri besar Johor di kediamannya di Johor Bahru awal minggu lalu.

Di sebelah pagi, Abdullah tiba untuk mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (IRDA), sebuah badan yang bertanggungjawab membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), yang menimbulkan kontroversi dan kebimbangan penyokong akar umbi Umno negeri.

Abdullah adalah pengerusi bersama IRDA, bersama-sama Abdul Ghani.

ADS