Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakatan: Tiada agenda parti sendiri
Diterbitkan:  Apr 13, 2008 10:56 AM
Dikemaskini: 5:35 AM

Pakatan Rakyat menafikan gabungan tiga parti pembangkang itu akan menonjolkan ideologi masing-masing selepas beberapa pemimpin PAS beriya-iya ingin menegakkan negara Islam jika ia berkuasa.

"Pakatan bukanlah medan bagi mana-mana pihak untuk memperjuangkan ideologi persendirian atau parti masing-masing," kata tiga pemimpin utama tiga parti itu.

pas pkr dap pc barisan rakyat coalition 010408 05 Kenyataan itu dikeluarkan semalam oleh presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

"Walaupun ada pihak-pihak yang memberi pandangan berbeza dari yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin utama tiga parti dalam Pakatan, pandangan itu adalah pandangan peribadi yang tidak sama sekali mewakili mana-mana parti dalam Pakatan."

Terbaru, timbalan mursyidul am PAS Datuk Dr Haron Din berkata PAS akan melaksanakan hudud jika berjaya merampas kuasa kerajaan Persekutuan.

Tiga tokoh pembangkang itu menambah, "semua pemimpin dan ahli dalam Pakatan telah diarahkan menghentikan pandangan yang lain daripada muafakat bersama ini."

Mereka mengulangi kesediaan Pakatan untuk "meneruskan agenda besar membangunkan negara dan memakmurkan rakyat tanpa ada sempadan kaum, agama serta budaya dan selaras dengan hak asasi sejagat manusia."

Dasar-dasar Pakatan, menurut mereka lagi, berpaksikan kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dan disepakati oleh semua pemimpin tiga parti iaitu PKR, DAP dan PAS.

"Antaranya ialah membina negara ini atas landasan keadilan, membuka peluang untuk semua rakyat menikmati kemakmuran negara dengan memberi keutamaan kepada mereka yang miskin dan terpinggir," katanya.

Kenyataan terbaru Pakatan - cadangan penubuhannya diumumkan pada 1 April - dipercayai akibat semakin banyak kenyataan pemimpin PAS untuk melancarkan agenda Negara Islam mereka jika dapat merampas kerajaan.

az Kenyataan Dr Haron itu diterbitkan di laman media rasmi PAS, Harakahdaily.net pada 10 April sewaktu menjawab satu soalan pembaca.

Ubaidah Salim dari Sepang mengemukakan soalan:

"Apakah apabila PAS menjadi pemerintah sesebuah negeri, undang-undang hudud Islam menjadi keutamaan? Wajib disegerakankah atau pun bukan keutamaan. Jika bukan, apa pula keutamaan PAS dalam pemerintahannya?"

Dr Haron menjawab, antaranya:

"Kerajaan pusat dibentuk selepas parti politik memenangi majoriti kerusi-kerusi parlimen. Demikian juga di negeri-negeri, mana-mana parti yang dapat membentuk majoriti mudah, maka merekalah yang membentuk kerajaan.

"Kuasa tertinggi adalah kerajaan pusat, mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri perlu patuh dan tertakluk dengan kuasa kerajaan pusat.

"Kerajaan negeri tidak boleh membuat undang-undang sendiri yang bercanggah dengan kerajaan pusat.

"Oleh kerana itu, persoalan hudud termasuk dalam peruntukan undang-undang yang dibolehkan oleh kerajaan pusat atau tidak. Buat sementara ini kerajaan pusat tidak meluluskan undang-undang berkaitan hudud dilaksanakan di peringkat negeri.

"Ini bererti bahawa undang-undang hudud perlu patuh kepada perlembagaan Malaysia, maka dengan sendirinya, jika PAS tidak menguasai kerajaan pusat atau Perlembagaan Persekutuan yang ada belum diubah, ia (hudud) tidak dapat dilaksanakan.

"Jika sekiranya negeri mahu melaksanakan undang-undang hudud, ia mesti mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan.

"Dengan pemahaman mudah, kerajaan-kerajaan negeri PAS, belum diizinkan untuk melaksanakan undang-undang hudud.

"Kita perlu bersabar sehingga kerajaan pusat dikuasai oleh PAS sehingga Perlembagaan Persekutuan dapat diubah, maka barulah ia menjadi keutamaan."

ong ka ting mca general assembly 280806 Jawapan Dr Haron ini mendapat liputan meluas di akhbar berbahasa Cina dengan Sin Chew Jit Poh meletakkannya sebagai berita utama Jumaat lalu.

Susulan perkembangan itu, MCA semalam mengecam sekeras-kerasnya niat PAS itu dan mendesak dua parti gabungan Pakatan Rakyat, khususnya DAP, menjelaskan kedudukan sebenarnya.

MCA, kata presidennya Datuk Seri Ong Ka Ting, sudah lama mengingatkan orang ramai bahawa parti Islam itu sentiasa mempunyai niat tersirat untuk menegakkan cita-citanya yang tidak boleh diterima dalam masyarakat pelbagai kaum.

"Apabila PAS menjadi kuat, ia akan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan undang-undang hudud. Rakan-rakan kongsinya dalam pakatan harus secara terbuka menegaskan pendirian masing-masing berhubungan kenyataan (Dr Haron) itu," katanya selepas mesyuarat di Wisma MCA.

ADS