Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata suara-suara yang mendesaknya berundur segera hanya "pandangan sesetengah pihak" dalam Umno.

"Peralihan kuasa perlu disegerakan adalah pandangan sesetengah (sahaja) pihak dalam Umno," katanya, mengulas pelan peralihan kuasa yang disarankan oleh badan perhubungan Umno Johor minggu lalu.

"Mereka (Umno Johor) kata akan terus memberi sokongan kepada saya. Semua ahli-ahli parlimen (BN) sokong saya."

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan semua ahli parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri dan anggota Dewan Negara BN di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Susulan keputusan Umno Johor itu, beberapa pemimpin mahu Abdullah menyegerakan pelan peralihan tersebut.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdullah berkata beliau akan menyerahkan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak "apabila parti dalam keadaan selesa".

Menurutnya, peralihan seumpama itu juga pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno sebelum itu, contohnya ketika Tun Hussein Onn menyerahkan kuasa kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1981 dan ketika Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepadanya pada 2003.

"Tidak perlu mendesak-desak kerana saya akan menyerahkan jawatan apabila semuanya dalam keadaan elok dan baik," tambahnya.

Susulan kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, pelbagai pihak dalam Umno mendesak Abdullah agar berundur dan menyerahkan kuasa kepada Najib bagi memulihkan semula parti.

Beberapa pemimpin bimbang parti itu gagal dipulihkan menjelang pilihanraya umum akan datang jika peralihan kuasa lambat dibuat.

Abdullah juga berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu ini mengenai pelantikan bagi mengisi kekosongan jawatan tiga timbalan menteri.

ADS