Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas hakim didakwa akibat lepas 3 Hindraf?
Diterbitkan:  Apr 15, 2008 3:08 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

DAP mempertikaikan pengendalian kes pemalsuan dokumen terhadap bekas hakim Zunaidah Mohd Idris selepas beliau melepaskan tiga pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

Tokoh utama parti itu Lim Kit Siang hairan dengan tindakan ketua pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang terlibat dalam kes Zunaidah yang dianggap kecil.

gani patail ghani patail Sedangkan, tambah Lim, Mohd Yusof atau Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (foto) sendiri tidak terlibat dalam kes berprofil tinggi melibatkan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Kes (Altantuya) itu lebih besar kesan politik dan tadbir urus yang baik," katanya.

Zunaidah, sebagai hakim di mahkamah sesyen Klang pada 26 November 2007, melepaskan tetapi tidak membebaskan pemimpin-pemimpin Hindraf - P. Uthayakumar, P. Waytha Moorthy dan V. Ganapathi - yang didakwa bagi kesalahan menghasut.

hindraf klang court sedition 261107 victorious Semasa membuat keputusan itu, Zunaidah berkata beliau tidak nampak tumpuan pendakwaan kes itu dan atas sebab itu beliau melepaskan ketiga-tiga tertuduh.

Hakim juga berkata rakaman percakapan asal perlu dibuat dalam transkrip bahasa asal (Tamil) sebelum diterjemahkan kepada bahasa-bahasa lain.

Lim menambah dalam satu kenyataan hari ini, selepas membuat penghakiman itu, Zunaidah dilucutkan jawatannya di mahkamah sesyen Klang dan dipindahkan ke Jabatan Peguam Negara di Putrajaya untuk kerja-kerja pentadbiran.

"Apakah pertuduhan terhadap Zunaidah atas kesalahan memalsukan dokumen pada September 2005 berkaitan dengan keputusannya menolak pendakwaan kes hasutan tiga pemimpin Hindraf?" kata ahli parlimen Ipoh Timur melalui blognya petang ini.

ngo burma talk 091007 lim kit siang Bekas hakim itu didakwa di mahkamah sesyen Raub pada Jumaat lalu atas tuduhan memalsukan rekod kes jenayah ketika bertugas sebagai hakim di mahkamah itu tiga tahun lalu.

Zunaidah, kini pegawai pentadbiran di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya, mengaku tidak bersalah dan hakim menetapkan 8 Julai ini untuk perbicaraan.

Beliau dibenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Zunaidah sebelumnya dilaporkan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang sama di mahkamah majistret Raub pada 14 September 2005.

Mengikut kertas pertuduhan, Zunaidah memalsukan satu dokumen rekod mahkamah yang dibuat majistret Nurul Mardhiah Redza bagi kes tangkap 83-238-2005 di mahkamah majistret itu.

Beliau yang didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan, dituduh melakukan kesalahan itu di kamar hakim mahkamah sesyen, Jalan Bukit di Raub.

Jika sabit kesalahan, Zunaidah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

ADS