Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno bahagian Pasir Mas akan mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) 3 Mei ini bagi mendapat keputusan untuk mengurangkan kuota sistem pencalonan dalam pemilihan parti Disember ini.

Naib ketua bahagian Che Johan Che Pa berkata, pejabat bahagian telah menghantar surat jemputan kepada kira-kira 400 perwakilan sejak minggu lalu.

Bahagian Pasir Mas, katanya, menyarankan seseorang yang ingin bertanding untuk semua jawatan hanya perlu mendapat lima peratus berbanding 30 sekarang ini.

"Sebenarnya ada ahli jawatankuasa (AJK) yang mahu sitem kuota dihapuskan tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk mengurangkannya," katanya.

Che Johan berkata, Umno Pasir Mas mempunyai 177 cawangan dengan keahlian seramai kira-kira 20,000 orang.

Katanya, sebenarnya sistem kuota pencalonan ini memberikan kekebalan kepada penyandang jawatan untuk terus berada dalam kepimpinan parti.

Beliau juga berpendapat sistem pemilihan Umno perlu kembali kepada asal (sebelum penubuhan Umno baru pada 1988) kerana sistem kuota bercanggah dengan amalan demokrasi.

"Sudah 21 tahun tidak ada pertandingan dalam pemilihan Umno dan kini sudah tiba untuk mengadakannya semula.

"Perpecahan hanya berlaku di peringkat atasan, manakala pertandingan di peringkat bahagian tidak menjejaskan kekuatan parti," katanya lagi.

Umno bahagian Cheras akan mengadakan EGM pada 27 April ini, sementara bahagian Bandar Tun Razak akan berbuat yang sama 1 Mei.

Awal bulan ini, bahagian Gua Musang telah mengadakanya EGM tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS