Sebelum ini ia memuatkan artikel-artikel panjang tentang parti itu, termasuk bekas timbalan perdana menteri itu, dan gerakan pembangkang.Surat itu tidak menyatakan sebarang sebab pengharaman tersebut.
Pemilik akhbar itu - yang dikaitkan dengan bekas pemimpin kanan MIC Datuk S Subramaniam - telah memohon permit baru sejak Julai, kira-kira tiga bulan sebelum tarikhnya tamat.
Sementara itu Oriental Daily masih tidak diperbaharui sejak permitnya tamat Disember lalu. Ia beroperasi sepanjang pilihanraya umum lalu dengan garis panduan khas dengan harapan lesen itu diperbaharui.
Difahamkan akhbar Cina itu tidak mempunyai halangan untuk mendapat sambungan permit walaupun setakat ini tiada surat rasmi dikeluarkan.
Akhbar Tamil itu memberikan liputan meluas pada Makkal Sakthi (kuasa rakyat) selepas demonstrasi besar 25 November yang digerakkan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).
Sumber-sumber dalam syarikat media itu memberitahu, Kementerian Dalam Negeri juga tidak senang dengan penyiaran muka depan foto tokoh Hindraf dan peguam P Uthayakumar - kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting, Taiping - di hospital daerah itu minggu lepas.
Harian terbaru itu, diterbitkan mulai 2005, menyertai dua lagi akhbar untuk etnik India, Tamil Nesan dan Malaysia Nanban.
"Kami akan memohon rayuan esok," kata Periasamy.
Makkal Osai, yang berpejabat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, menggajikan kira-kira 100 kakitangan.
Nasib mereka belum jelas akibat pengharaman ini.
Makkal Osai atau "suara rakyat" - diterbitkan sebagai tabloid mingguan sejak 1990 selepas Tamil Osai tidak lagi beroperasi - diedarkan sebanyak 52,000 naskhah sehari.