Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan tidak akui 'makkal sakhti'
Diterbitkan:  Apr 17, 2008 1:23 PM
Dikemaskini: 6:38 PM

kemaskini 10:18pm Pengharaman akhbar Makkal Osai menunjukkan kerajaan BN tidak mengambil iktibar daripada kejayaan makkal sakhti , atau kuasa rakyat, dalam pilihanraya umum 8 Mac, kata ahli parlimen DAP M Kula Segaran.

makkal ossai anwar ibrahim black 14 160408 "Pengharaman itu tidak boleh diterima kerana ia mencabuli kebebasan asas yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

"Semua pencinta demokrasi di Malaysia terperanjat dengan pengharaman itu."

Tambahnya, akhbar harian berbahasa Tamil itu memberikan liputan adil dan bebas kepada semua parti politik, termasuk pembangkang, sehingga ia mendapat pujian pembaca dan masyarakat India negara ini.

Kementerian Dalam Negeri semalam mengharamkan Makkal Osai selepas memberikan liputan muka depan perhimpunan besar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Semalam harian tersebut turut memuatkan liputan siasatan polis terhadap presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua lagi pemimpin kanannya susulan perhimpunan itu.

Sebelum ini ia memuatkan artikel-artikel panjang tentang parti itu, termasuk bekas timbalan perdana menteri itu, dan gerakan pembangkang.

Akhbar harian berpengaruh itu menghadapi masalah memperbaharui permit sejak Oktober tahun lepas.

uthayakumar new look taiping hospital 090408 Akhbar Tamil itu juga memberikan liputan meluas pada makkal sakthi selepas demonstrasi besar 25 November lepas yang digerakkan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

Sumber-sumber dalam syarikat media itu memberitahu, Kementerian Dalam Negeri juga tidak senang dengan penyiaran muka depan foto tokoh Hindraf dan peguam P Uthayakumar - kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting, Taiping - di hospital daerah itu minggu lepas.

Harian terbaru itu, diterbitkan mulai 2005, menyertai dua lagi akhbar untuk etnik India, Tamil Nesan dan Malaysia Nanban .

Pengurus besar Makkal Osai S M Periasamy berkata akhbar itu akan membuat rayuan hari ini.

Sementara itu, ahli jawatankuasa pusat MCA Wong Nai Chee turut membantah pengharaman itu, menyifatkan keputusan KDN itu "tidak rasional dan akan memberi gambaran negatif bahawa kerajaan menghukum akhbar tersebut."

Selain meminta permit penerbitannya dikembalikan, Nai Chee juga menggesa kementerian menjelaskan dengan spesifik sebab-sebab lesen penerbitan itu tidak diperbaharui semula.

Kula Segaran turut mendesak kerajaan agar segera menghidupkan semula lesen penerbitan akhbar itu - bukan sahaja untuk kebajikan lebih 100 kakitangannya tetapi juga "memaklumkan kepada dunia bahawa kita bangsa bertamadun dan mengamalkan kebebasan akhbar".

"Saya juga akan berkempen untuk memansuhkan kewajiban akhbar mendapat permit penerbitan. Akta Penerbitan dan Mesin Cetak tidak demokratik dan bertentangan dengan kepentingan ramai, dan selalunya digunakan Umno untuk menggertak dan menyekat akhbar," katanya lagi.

Indeks kebebasan media di Malaysia menurun pada tahun lalu berbanding 2006, lapor pemantau kebebasan media yang berpengkalan di Paris, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

Daripada 169 negara, Malaysia menjunam 32 tangga kepada 124 tahun lepas berbanding kedudukan 92 pada 2006.

ADS