Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sebab 'suara rakyat' diharamkan
Diterbitkan:  Apr 17, 2008 2:49 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menjelaskan permit penerbitan akhbar bahasa tamil, Makkal Osai tidak disambung kerana ia tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

makkal osai diharamkan Beliau berkata, kementerian juga menerima pelbagai aduan berhubung akhbar tersebut dan berdasarkan penilaian, kementerian mengambil keputusan untuk tidak

menyambung permitnya.

"Kita ada garis panduan media, kita tidak sewenang-wenangnya untuk membatalkan. Kita tidak membatalkan Makkal Osai, cuma kita tidak sambung permit," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Agensi berita Bernama memetik Syed Hamid sebagai berkata, penerbitan setiap akhbar tidak boleh lari daripada garis panduan yang ditetapkan.

Antaranya, kata beliau, ialah tidak membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian negara, isu-isu yang boleh membangkitkan salah faham antara kaum yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara.

Bagaimanapun, kata beliau, akhbar tersebut boleh membuat rayuan bagi membolehkan kementerian membuat penilaian.

makkal ossai anwar ibrahim black 14 160408 Kementerian Dalam Negeri semalam mengharamkan Makkal Osai selepas memberikan liputan muka depan perhimpunan besar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Semalam harian tersebut turut memuatkan liputan siasatan polis terhadap presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua lagi pemimpin kanannya susulan perhimpunan itu.

Sebelum ini ia memuatkan artikel-artikel panjang tentang parti itu, termasuk bekas timbalan perdana menteri itu, dan gerakan pembangkang.

Akhbar harian berpengaruh itu menghadapi masalah memperbaharui permit sejak Oktober tahun lalu.

Selar Amnesty

Syed Hamid juga menyelar dakwaan Amnesty International (AI), sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang mendakwa Malaysia antara negara yang mengamalkan pembunuhan

secara rahsia.

Beliau berkata laporan itu berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik Malaysia dan mereka yang menulis laporan itu adalah jahil.

"Mana dia dapat laporan begitu pun saya tak tahu, adakah dia jumpa sesiapa atau mendengar khabar angin. Orang sekarang terlalu berminat untuk menjatuhkan

nama baik Malaysia.

"Kita tidak ada 'secret killing' (pembunuhan rahsia), siapa sahaja yang membuat kesalahan, ada proses undang-undang, kita mana boleh membunuh orang begitu sahaja, Malaysia adalah negara yang mendaulatkan undang-undang," katanya.

Amnesty International membuat dakwaan demikian dalam laporan tahunan 2007 yang dikeluarkan di London. Turut tersenarai selain Malaysia ialah Indonesia, Kemboja dan Vietnam.

Syed Hamid berkata laporan itu boleh menimbulkan keraguan orang luar terhadap Malaysia dan beliau berharap Wisma Putra mengambil tindakan bagi membantah kenyataan tersebut.

ADS