Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: BPR akan jadi badan bebas
Diterbitkan:  Apr 21, 2008 11:27 AM
Dikemaskini: 7:00 PM

kemaskini 4:15pm Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan kempen reformasinya hari ini dengan mengumumkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menjadi sebuah badan bebas.

Beliau juga mengumumkan beberapa lagi langkah reformasi untuk membasmi rasuah, termasuk menggubal undang-undang bagi melindungi pemberi maklumat awal.

Jumlah pegawai BPR akan ditambah tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang bagi meningkatkan keupayaan badan itu menentang rasuah.

Langkah baru ini diumumkan beberapa hari selepas beliau berhasrat memperkenalkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim minggu lalu.

pak lah abdullah badawi aca bpr 190408 Abdullah mengakui bahawa kemerosotan pengaruh BN dalam pilihanraya umum lalu disebabkan kelengahannya melaksanakan reformasi seperti dijanjikan pada pilihanraya umum 2004.

Menurut laporan Bernama , perdana menteri berkata, elemen utama suruhananjaya ini adalah penubuhan sebuah lembaga penasihat pencegah rasuah yang bebas, dengan para anggotanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Anggota lembaga akan menasihati suruhanjaya mengenai hal-hal pentadbiran dan operasi. Lembaga juga akan diberi taklimat mengenai kes-kes yang membabitkan kepentingan umum dan seterusnya boleh mempersoal atau mencadangkan tindakan-tindakan tertentu diambil.

"Yang paling penting, lembaga akan bertindak menjamin orang ramai bahawa kes-kes yang berkepentingan umum sedang ditangani dengan sewajarnya dan sepenuhnya," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Dialog Integriti Asean 2008 di Kuala Lumpur.

Kemuka laporan

Perdana Menteri berkata sebuah jawatankuasa parlimen mengenai pencegahan rasuah juga akan dibentuk, yang mana suruhanjaya bertanggungjawab mengemukakan laporan tahunan dan anggota jawatankuasa boleh mendapatkan penjelasan dan keterangan mengenai laporan.

Abdullah berkata tiga pembaharuan lain yang akan dilakukan:

bullet button menambah 5,000 lagi pegawai pada setiap peringkat meliputi pelbagai bidang kepakaran dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menambah kekuatan gerakan antirasuah; di samping menawarkan terma baru perkhidmatan yang menarik;

bullet button memperkenalkan perundangan bagi perlindungan menyeluruh pemberi maklumat dan saksi;

bullet button dan menambahbaik proses perolehan awam menerusi tindakan yang dapat menangani masalah-masalah tertentu dalam sistem berkenaan.

"Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara untuk bekerjasama dengan pasukan Pemudah untuk menggubal kerangka bagi menambahbaik proses perolehan awam, menjadikannya lebih telus dan bertanggungjawab," katanya.

(Pemudah adalah satu inisiatif sektor awam dan swasta yang bertujuan memudahkan operasi perniagaan di Malaysia dengan meningkatkan perkhidmatan kerajaan).

Memperincikan tentang suruhanjaya itu kepada pemberita kemudian, Abdullah berkata walaupun suruhanjaya itu dikehendaki mengemukakan laporan tahunan kepada jawatankuasa parlimen, beliau akan bertanggungjawab bagi suruhanjaya itu.

"Biasanya akan ada seorang menteri, di mana-mana di dunia, bertanggungjawab terhadap apa jua institusi yang ditubuhkan. Dan saya akan bertanggungjawab bagi institusi ini. Dalam setiap kes yang telah kami kaji, ia adalah serupa kerana kerajaan bertanggungjawab terhadap Parlimen. Mereka adalah wakil kepada rakyat, maka mereka perlu menjelaskan segala-galanya (kepada rakyat)," katanya.

Menyentuh tentang kebebasan suruhanjaya, Perdana Menteri berkata suruhanjaya itu bebas daripada segi pengambilan di samping, antara lain, mempunyai dasar sendiri.

"Ia akan mempunyai kuasa untuk mengambil dan memecat (kakitangan). Ia akan mempunyai polisi sendiri daripada segi apa yang mereka perlu lakukan. Maka, begitulah cara suruhanjaya akan beroperasi.

Buat keputusan sendiri

"Suruhanjaya Sekuriti pun beroperasi sedemikian rupa tetapi masih mempunyai seorang menteri yang bertanggungjawab iaitu Menteri Kewangan," katanya, sambil menambah kata bahawa ini bermakna suruhanjaya mempunyai lebih kuasa untuk membuat keputusan sendiri dalam banyak perkara.

abdullah ahmad badawi  2008 cabinet line up 180308 Abdullah berkata suruhanjaya itu akan ditubuhkan berdasarkan kepada model-model dari pelbagai negara yang dikenali sebagai yang terbaik di dunia seperti Hong Kong.

Mengenai anggota jawatankuasa parlimen, Abdullah berkata beliau akan berbincang dengan anggota-angota Parlimen mengenai siapa yang mereka mahukan bagi menganggotai jawatankuasa itu.

Menjawab soalan sama ada pengumuman hari ini dan pembaharuan lain yang diumumkan beliau beberapa hari lepas dilakukan ekoran mesej rakyat seperti yang ditunjukkan dalam keputusan pilihan raya umum bulan lepas, Abdullah berkata ia adalah sebahagian daripada usahanya untuk menunaikan janji-janjinya yang dilakukan pada pilihan raya umum 2004.

"Para pengkritik saya akan bercakap apa sahaja. Jika saya telah melakukannya sebelum ini mereka akan menyatakan saya ingin memancing undi. Jika saya tidak melakukannya, mereka akan menyatakan saya lupa janji-janji saya. Semua perkara ini adalah manifesto saya pada pilihanraya 2004.

"Manifesto pilihanraya umum 2004 bukan hanya setakat untuk tempoh empat atau lima tahun. Ia bertujuan untuk jangka panjang. Wawasan 2020 adalah apa yang kita ingin capai. Ia adalah suatu perkara kepada sesiapa sahaja Perdana Menteri pada ketika itu tetapi kita mesti mengadakan gerakan untuk melakukan pembaharuan.

"Pembaharuan tidak boleh dilakukan dengan segera tanpa memikirkan tentang apa sebenarnya yang perlu dilakukan. Anda boleh melakukan perubahan hanya sekadar untuk melakukan pembaharuan, tetapi jika perubahan itu tidak berkesan pembaharuan itu tidak memberi apa-apa makna," katanya.

Abdullah berkata beliau tidak dapat mengotakan janjinya lebih awal kerana terdapat banyak perkara lain mempunyai keutamaan mendesak. "Tetapi saya tidak lupa akan janji-janji saya. Saya akan menunaikannya apabila tiba masanya," katanya.

Pemberi maklumat, saksi

Menjawab soalan mengenai perlindungan undang-undang kepada pemberi maklumat dan saksi-saksi, Abdullah berkata Peguam Negara telah mula menelitinya.

"Tetapi saya suka mengingatkan, sementara adalah wajar untuk mempunyai perlindungan ini, ia tidak bermakna satu kebebasan tidak terkawal untuk menulis apa sahaja tentang sesiapa pun. Saya mahu mereka bertanggungjawab tentang laporan mereka. Mereka mesti tahu apa yang sebenarnya mereka nyatakan dan asas laporan mereka," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah berkata beliau dan kerajaan amat komited tentang janji mereka untuk memerangi rasuah di negara ini. Beliau berkata usaha-usaha aktif yang diambil oleh kerajaan sejak empat tahun lepas telah membuahkan hasil positif tetapi rakyat mahukan lebih daripada itu berikutan mereka kini lebih berilmu dan berfikiran sofistikated.

Abdullah berkata berdasarkan maklum balas awal orang ramai, kerajaan mendapati kekecewaan rakyat terhadap situasi hari ini berpunca kepada tiga sumber utama.

"Pertama, rakyat merasakan bahawa institusi dan kerangka perundangan bagi antirasuah masih lemah dan wujud kecenderungan untuk disalahguna. Mereka menyatakan keperluan bagi memisahkan kuasa secara jelas antara institusi kerajaan serta ketelusan dan kebertanggungjawaban awam yang lebih tinggi daripada agensi-agensi penguatkuasa," katanya.

Kedua, kata Abdullah orang ramai berpendapat bahawa penguatkuasaan antirasuah adalah lembab dan tidak sejajar seperti yang dikatakan sesetengah orang bahawa "ikan jerung" dilindungi manakala "ikan bilis" menghadapi tindakan keras undang-undang.

"Ketiga, ramai orang merasakan sistem perolehan awam sedia ada dan prosedur bagi pemberian kontrak-kontrak kerajaan penuh dengan peluang-peluang bagi rasuah," katanya.

Dalam perkara sama, Abdullah menggesa semua negara-negara Asean untuk bekerjasama bagi menyokong dan mengukuhkan integriti.

"Marilah kira membentuk satu dunia yang adil dan saksama, di mana yang lemah dilindungi dan majoriti dibimbing ke jalan bermoral. Marilah kita membina Asean yang teguh dan kompetitif, mengamalkan urus tadbir yang baik serta menegakkan etika dan undang-undang," katanya.

Kira-kira 300 peserta dari negara-negara anggota Asean menghadiri dialog dua hari yang bertujuan mempromosikan budaya integriti merentasi sempadan.

ADS