Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hidupan liar pupus, pelancong merosot
Diterbitkan:  Apr 21, 2008 1:01 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Kepupusan hidupan liar boleh menjejaskan imej negara dan mengurangkan kedatangan pelancong asing tetapi kerajaan tidak menguatkuasakannya dengan serius bagi menghalang kemusnahannya, kata Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

"Punca utama, kegagalan menguatkuasakan undang-undang perlindungan hidupan liar. Undang-undang umumnya sudah memadai tetapi jabatan penguatkuasaan kurang kakitangan dan sumber," kata pengerusi MNS cawangan Selangor, Gary Phong.

Kerjasama pihak-pihak berkuasa yang lain seperti polis dan kastam pula tidak mencukupi, tambahnya.

"Paling teruk, tugas jabatan-jabatan sering pula diganggu pegawai-pegawai kanan," kata Phong, dengan menambah campur tangan itu termasuk daripada ahli politik.

"Contohnya, seorang pemilik ladang, yang juga saudagar besar hartanah, secara terang-terangan menceroboh Taman Negara Gunung Lambir, seorang ahli politik kanan mengarahkan Perbadanan Perhutanan Sarawak menggugurkan pertuduhan terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hukuman yang dikenakan oleh mahkamah terhadap pesalah juga sangat rendah, kata Phong.

"Apabila Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membawa kes-kesnya terhadap restoran yang menjual daging (haiwan yang dilindungi), denda yang dikenakan oleh hakim-hakim sangat kecil, daripada RM1,800 kepada RM5,000 walaupun hukuman maksimumnya RM15,000 dan lima tahun penjara," katanya.

"Begitu juga kes pada 2005, pemburu haram yang membunuh seekor harimau di Kelantan dihukum RM7,000. Jelas sekali hukuman-hukuman seumpama ini hanya lebih menakutkan penguatkuasa daripada penjenayah."

Akibat pelbagai faktor ini, tambah MNS lagi, kini semakin sukar terserempak hidupan liar di hutan-hutan Malaysia, dan perkembangan ini tidak diragui lagi mula membawa kesan negatif kepada industri pelancongan.

"Ramai pelancong asing meluahkan rasa kecewa apabila ditanya pengalaman mereka di hutan Malaysia, dibandingkan di India dan Sri Lanka, negara yang masih mempunyai jumlah hidupan liar yang banyak walaupun negara-negara ini berpenduduk padat," katanya.

Sikap sambil lewa yang ditunjukkan pihak berwajib, termasuk ahli politik kanan dan pengamal undang-undang, menunjukkan jenayah terhadap hidupan liar hanyalah perkara kecil.

"Mereka sepatutnya diingatkan bahawa perdagangan haiwan liar (yang dilindungi) setanding dengan sindiket dadah dan penjualan senjata.

"Dalam banyak keadaan, ia dijalankan oleh kumpulan besar penjenayah, atau mereka yang berkaitan, dan melibatkan penggubahan wang haram, jenayah senjata dan selalu juga melibatkan serangan terhadap manusia atau pembunuhan," katanya.

ADS