Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA perjelas kenyataan Ka Ting
Diterbitkan:  Apr 21, 2008 7:06 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

MCA hari ini menjawab dakwaan sesetengah individu yang mengatakan kenyataan presiden parti itu, Datuk Seri Ong Ka Ting - ketika mengulas ucapan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mohammad Faris Petra mengenai kedudukan istimewa orang Melayu - berbaur hasutan.

Dalam satu kenyataan hari ini, parti itu menjelaskan bahawa pihaknya mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu sepertimana dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

MCA juga, tegasnya, tidak berniat langsung untuk mencabar kedudukan mereka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, katanya, ia merupakan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan dalam perkara tersebut.

"Kita juga ingin menegaskan dan mengulangi bahawa semua rakyat Malaysia - tidak kira Melayu atau bukan Melayu - menikmati hak asasi yang sama dan saksama serta kebebasan seperti yang terkandung dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan," tambah kenyataan itu.

Berasaskan alasan itu, sementara mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu mengikut Perkara 153, MCA ingin menekan bahawa semua rakyat Malaysia menikmati 'hak' yang sama di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, tegas MCA, mana-mana kaum tidak seharusnya merasa tinggi atau rendah kedudukannya di negara ini.

"Berdasarkan asas inilah, kenyataan presiden kami dikeluarkan sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Ka Ting dilaporkan tidak bersetuju dengan ucapan Tengku Mahkota Kelantan itu bahawa tidak wajar bagi kaum-kaum bukan Melayu menuntut persamaan hak.

Kenyataan seumpama itu, tegas Ka Ting, akan menghancurkan perpaduan dan harmoni di kalangan rakyat pelbagai kaum.

Ong berkata, ia juga tidak akan menguntungkan masyarakat majmuk di negara ini.

BPR: Alu langkah k'jaan

ong ka ting 040108 Sementara itu, dalam satu lagi kenyataan Ka Ting mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menjadi Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah badan bebas dan bertanggungjawab kepada parlimen.

"Kini ingin melihat prestasi BPR diperkukuhkan dan satu kekuatan politik yang baru diwujudkan untuk memastikan kebebasan BPR terjamin.

"Kami mahu rakyat faham bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) serius untuk memerangi rasuah di negara ini," kata Ka Ting.

Akauntabiliti itu juga, tambahnya, mesti merangkumi integriti keseluruhan sistem dan menghormati nilai-nilai moral masyarakat.

Melalui tanggungjawab bersama parlimen, kata Ka Ting, maka keputusan-keputusan boleh dibuat tanpa sebarang rasa takut dan memihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS