Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dicadang mengeluarkan garis panduan penapisan filem agar produk seni itu tidak menggugat akidah umat Islam.

Dalam memorandumnya kepada Kementerian Dalam Negeri hari ini, Pemuda PAS turut mencadangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menasihati pengamal filem agar tidak mengeluarkan filem-filem yang menghina agama.

Timbalan ketua pergerakan itu Nasrudin Hassan menamakan Akhirat yang ditayangkan bulan lalu sebagai filem "yang begitu jelas menghina Islam."

"Filem Akhirat jelas menjadikan adegan zina, minum arak dan berhibur secara keterlaluan itu sebagai sesuatu yang biasa dalam masyarakat kita," katanya.

"Konsep penggantungan sepenuhnya kepada Tuhan tidak dicerminkan di dalam filem ini, malah dialog bebal juga menyalahkan Tuhan amat keterlaluan.

"Ada juga adegan cium leher, peluk, belai-membelai, gesel-menggesel (lelaki dan perempuan) tidak dapat mencerminkan tajuk Akhirat itu sendiri."

Filem arahan Syed Mohamed Hassan Benyahya - dibintangi oleh, antaranya, pelakon-pelakon terkenal Vanidah Imran, Tony Eusoff, Nabila Huda Suhaimi, Adi Putra dan Jins Samsuddin - ditayangkan di pawagan mulai 20 Mac.

Ia mengisahkan kesengsaraan seorang wanita yang menghidap HIV tetapi merahsiakannya daripada semua orang, termasuk suaminya sendiri, sehingga menimbulkan konflik di dalam dirinya.

Selain filem tempatan itu, Pemuda PAS juga membantah sekeras-kerasnya tindakan KDN meluluskan siri drama televisyen 'telenovela' Latin yang dianggapnya berunsur lucah.

"Dewan Pemuda PAS melihat filem-filem tersebut sebagai bahan yang akan merosakkan minda rakyat dan juga menghancurkan budaya tempatan.

"Pemuda PAS juga melihat bahawa filem-filem yang berbentuk tahyul, keterlaluan ini semakin berleluasa dan ia salah di sisi agama serta bukannya (sebahagian) daripada budaya kita," kata Nasrudin.

malaysia budget 2007 2008 070907 syed hamid albar Selain memorandum itu, Pemuda PAS juga menyerahkan nota sokongan kepada KDN atas kesediaan menterinya Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk mewujudkan persekitaran media massa yang lebih bebas.

Dalam wawancaranya dengan akhbar The Sunday Star semalam, Syed Hamid bercadang melonggarkan syarat-syarat permit penerbitan akhbar yang kini wajib diperbaharui setiap tahun.

Dengan cadangan baru itu, penerbit akhbar hanya perlu memohon lesen sekali sahaja dan permit yang diberikan bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak tidak perlu diperbaharui setiap tahun seperti amalan kini.

Syed Hamid berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kabinet tidak lama lagi.

Dengan menyatakan dukungan pada cadangan menghapuskan lesen penerbitan, sayap PAS itu berkata isu kebebasan media sudah menjadi keluhan umum dalam negara sejak sekian lama.

"Sikap kawalan kerajaan terhadap pengendali media dilihat menyekat kebebasan laporan media yang adil dan tanggungjawab. Laporan media seringkali dilihat cenderung kepada agenda yang seiring dengan kehendak kerajaan dan parti yang memerintah," kata Nasrudin.

"Minda pengendali media mesti dibebaskan daripada budaya tekanan dan kongkongan yang diamalkan sebelum ini.

"Kerapkali penyuntingan media dibuat untuk memenuhi kehendak penguasa kerajaan dan penyuntingan media takut untuk memberikan laporan yang bebas, adil dan tepat."

ADS