Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 5pm Umno Batu Pahat menjadi bahagian pertama di Johor yang akan mengadakan mesyuarat khas (EGM) Sabtu ini - bahagian kedua selepas Gua Musang.

Ketua bahagian itu Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, EGM itu akan diadakan selepas lebih dua pertiga daripada jumlah cawangan di bahagian tersebut bersetuju ia diadakan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan butir-butir yang akan dibahaskan dalam mesyuarat khas tersebut.

Bagaimanapun, isu utama yang menjadi perdebatan hangat sekarang ialah mengenai cadangan menghapuskan kuota pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta ahli majlis tertinggi.

Sebelum ini, Umno bahagian Gua Musang mengadakan EGM pada 4 April lalu dan meluluskan usul pindaan beberapa bahagian perlembagaan parti.

Umno bahagian Cheras pula akan mengadakan EGM Ahad ini, diikuti bahagian Bandar Tun Razak (kedua-duanya di Wilayah Persekutuan) pada 1 Mei depan.

Manakala Umno bahagian Pasir Mas pula akan mengadakan mesyuarat khas tersebut pada 3 Mei depan.

Pelan peralihan kuasa

Sementara itu, seorang lagi pemimpin Umno bahagian Batu Pahat ketika dihubungi memberitahu, antara isu utama yang akan dibangkitkan dalam EGM tersebut ialah mengenai peralihan kuasa dalam parti dan kerajaan.

Katanya, ia selaras dengan keputusan badan perhubungan Umno Johor yang mahu perdana menteri membuat peralihan kuasa ekoran kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Saya mendapat tahu Dr Mohd Puad adalah antara pemimpin yang bercakap di majlis tersebut dan meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat pelan peralihan jawatan parti dan kerajaan," katanya lagi, yang enggan mendedahkan identiti.

Difahamkan tiga pemimpin bahagian Umno Johor selain menteri besar, Datuk Abdul Ghani Othman telah meminta perdana menteri mengadakan pelan peralihan kuasa bagi meredakan kemarahan rakyat.

ADS