Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mantan presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik hari ini menyelar bekas timbalan setiausaha agung parti itu, Datuk Lee Kah Choon kerana mengambil mudah dengan menyertai pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

"Orang muda ini tidak bersedia untuk meneruskan perjuangan. Dia cuba mengambil jalan pintas. Jangan cakap pada saya yang dia tidak mahu aktif dalam politik lagi.

lee kah choon and lim guan eng 230408 "Dia tetap aktif (politik), tapi sekarang, di bawah agenda DAP," katanya dalam sidang akhbar selepas berucap di sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini.

Bekas menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu menolak dakwaan bahawa peletakan jawatan Kah Choon satu kehilangan kepada parti itu.

"Tidak. Lagi cepat anda melihat wajah (sebenarnya) lagi baik. Tidak ada prinsip. Tidak ada semangat berjuang dan mahu cari jalan mudah sahaja," kata Keng Yaik.

Keng Yaik yang kecewa dan marah dengan tindakan Kah Choon itu berkata beliau rela dipersalahkan kerana bertanggungjawab mempersiapkan Kah Choon untuk menjadi seorang pemimpin parti itu.

"Saya kecewa dan marah kerana saya yang memilihnya. (Pemangku presiden Gerakan Dr Koh) Tsu Koon tidak seharusnya dipersalahkan," katanya.

'Kurang pemimpin'

Kah Choon mengambil tindakan keluar dari parti itu ekoran kontroversi yang tercetus selepas beliau menerima pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan pengerusi jawatankuasa eksekutif InvestPenang.

Beliau melepaskan semua jawatan dalam Gerakan pada 31 Mac ekoran kekalahan teruk parti itu pada pilihanraya umum lalu.

Keng Yaik menyifatkan pelantikan Kah Choon di dua agensi kerajaan negeri itu menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng tidak mempunyai pemimpin yang berkemampuan mentadbir negeri itu.

Beliau juga menyelar Guan Eng yang menyifatkan perkembangan itu sebagai satu era baru politik.

“Saya tidak fikir bapa beliau atau (pengerusi DAP) Karpal Singh bersetuju dengan tindakan (Guan Eng)t. Perkara seperti ini (melompat) yang mereka terjerit-jerit (membantah) ketika kita memegang kuasa," kata Keng Yaik.

Semalam, akhbar New Straits Times melaporkan bahawa Karpal berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan Guan Eng menawarkan jawatan tersebut kepada Kah Choon.

Ahli parlimen Bukit Gelugor itu menyifatkan tindakan Guan Eng itu sebagai tidak 'wajar'.

ADS