Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: Tiada kiraan semula di Rembau
Diterbitkan:  Apr 25, 2008 3:44 PM
Dikemaskini: 4:13 PM

Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa tiada pengiraan semula undi di parlimen Rembau yang dimenanginya dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu dengan majoriti 5,726 undi.

Menantu perdana menteri itu menjelaskan demikian dalam suratnya kepada Malaysiakini yang menyiarkan berita mengenai perkara itu.

khairy jamaluddin and badrul hisham and rembau Dalam suratnya, Khairy menafikan laporan tersebut yang menyatakan beliau kalah kepada calon PKR Badrul Hisham Shaharin dalam kiraan kali pertama, dan menang selepas pengiraan semula undi diadakan.

Laporan mengenai perkara itu, tambahnya, terkandung dalam berita 'Ku Li: Power transition unconstitutional' pada 18 April.

Menurut ahli parlimen itu lagi, dakwaan tersebut tidak benar dan tidak berasas.

Sebaliknya, kata Khairy, tiada pengiraan semula undi dan oleh itu isu beliau kalah dalam "kiraan kali pertama" tidak berbangkit.

Perkara itu, katanya, dinyatakan dengan jelas oleh Suruhanjaya Pilihanraya dalam laporan media bertarikh 13 Mac.

"Mereka telah mengira undi pos terlebih dahulu dan bukannya selepas pengiraan semula dibuat. Jika undi pos tidak dikira sekalipun, saya tetap menang lebih 500 undi," kata Khairy.

Menurut penjelasan Malaysiakini , berita pada malam pengiraan undi itu bersumberkan maklumat pencabarnya, calon PKR Badrul Hisham yang mendakwa telah dimaklumkan oleh seorang pegawai SPR bahawa pengiraan semula undi akan diadakan.

"Laporan kami pada malam tersebut mencerminkan hakikat itu. Bagaimanapun, kami mendapat tahu kemudiannya bahawa tidak ada pengiraan semula undi," penjelasan pengarang Malaysiakini dipetik.

"Oleh itu, kami ingin memohon maaf kepada Khairy kerana menyiarkan laporan tersebut dan menyebutnya dalam laporan-laporan berikutnya."

Selain malam itu, Badrul Hisham turut mengulangi wujudnya pengiraan semula undi dalam satu kenyataannya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur pada 11 Mac. Berita asal

ADS