Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Umno mahu semua Umno bahagian menghentikan tindakan mengadakan mesyuarat tergempar (EGM) untuk mendesak peralihan kuasa dalam parti dilaksanakan sebelum Disember ini.

Sebaliknya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, parti harus memberi fokus kepada isu-isu rakyat seperti kenaikan harga minyak dan barang makanan, serta reformasi badan kehakiman.

umno mt meeting 280408 04 "Ini semua (isu yang didesak dan menjadi keperluan rakyat) yang perlu dilihat, tapi nampaknya orang lebih melihat kepada soal pemilihan dalam parti," katanya.

Menurutnya, pucuk pimpinan sudahpun memahami kehendak dan pandangan akar umbi terhadap kerajaan.

Setakat ini tiga bahagian Umno iaitu bahagian Cheras (Wilayah Persekutuan), Gua Musang (Kelantan) dan Batu Pahat (Johor) telah mengadakan EGM meminta proses peralihan kuasa dipercepatkan bagi membolehkan pemulihan Umno dilaksanakan segera.

Abdullah berkata, Umno akan mengurangkan tumpuan pada isu-isu dalaman parti walaupun isu tersebut sering menarik minat ramai.

"Kita akan buktikan pada rakyat bahawa soal parti, kita akan uruskan hal parti. Bila tiba masanya nanti, semua ahli parti akan mengambil bahagian masing-masing dan menentukan kepimpinan parti," katanya.

Proses demokrasi dalam parti, tegas beliau, tetap akan berjalan semasa pemilihan Umno Disember ini, "pada masa itu kita undilah, kita tidak perlu gembar-gemburkan, tidak perlu.

'Tahu kemampuan mereka'

"Sebenarnya kita kenal semua dan semua orang tahu apa mereka buat, apa kemampuan mereka, apa kebolehan mereka, apa salah mereka, apa yang tidak elok dengan mereka. Bila tiba masanya kita buat mesyuarat dan masa itulah kita tentukanlah apa yang patut ditentukan.

"Tapi yang pentingnya kita memahami dan kita rasa bertanggungjawab untuk menggerakkan parti kita dan mendukung kerajaan terhadap perkara-perkara yang ada hubung kait dengan keperluan dan desakan rakyat."

Beliau menyeru kepada Umno dan BN agar memberi dukungan kepada kerajaannya untuk memulihkan sokongan rakyat yang telah banyak terhakis seperti ditunjukkan dalam pilihanraya umum. umno mt meeting 280408 01

"Yang menjadi isu paling tinggi sekali, berkaitan dengan isu kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang. Dan yang paling penting juga tentang masalah yang mungkin timbul dengan

kekurangan makanan," katanya lagi.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang merangka cadangan penyediaan stok penimbal bagi menghadapi risiko krisis makanan negara dan ia akan dikemukakan kepada jemaah

menteri.

Kerajaan, tambahnya, bercadang menyediakan kemudahan rumah berkualiti yang mampu dimilik oleh rakyat terbanyak.

ADS