Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua bahagian Umno Seremban membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar membuka semula kes siasatan campur tangan menteri besar Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung pelantikan adik-beradiknya sebagai ahli majlis kerajaan tempatan.

Datuk Ishak Ismail membuat laporan tersebut di pejabat BPR negeri di Seremban pada jam 8.35 pagi tadi.

Dalam laporan tersebut, bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng itu mendakwa peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak mengarahkan BPR menutup kes pelantikan Datuk Azman, abang Mohamad, dan adiknya Datuk Abdul Ghani, masing-masing sebagai ahli Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Seremban.

Menurut Ishak, laporan tersebut diterima oleh pengarah BPR negeri Rozaini Abu yang kemudiannya menyerahkan laporan tersebut kepada dua pegawainya.

"Saya mendapat laporan bahawa Abdul Gani telah mengarahkan kes tersebut ditutup dan kerana itu saya mahu kes itu disiasat semula untuk menentukan kesahihannya.

"Kes ini menjadi buah mulut di kalangan orang ramai di Seremban dan kerana itu ia wajar diketahui mereka," katanya lagi.

Rozaini, menurut Ishak, berjanji akan menyiasat laporan tersebut.

Bagaimanapun, Rozaini tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen mengenai laporan tersebut.

ADS