Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pandithan 'makkal thondan' India
Diterbitkan:  Apr 30, 2008 11:23 AM
Dikemaskini: 1:36 PM

Presiden Barisan Progresif India (IPF) Tan Sri MG Pandithan meninggal dunia pagi ini selepas menderita leukemia.

Pandithan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 8.30 pagi pada usia 68 tahun.

Beliau dipecat daripada MIC 20 tahun lalu selepas menghadapi pergeseran serius dengan presidennya Datuk Seri S Samy Vellu.

mg pandithan funeral Tokoh politik etnik India itu menampilkan dirinya sebagai pejuang mereka yang miskin dan terpinggir dalam etnik tersebut.

Samy Vellu sering mendakwa musuhnya itu bermain "politik kasta" untuk meraih kepopularan - bagaimanapun kedua-duanya saling bermaafan tahun lalu.

Pergeseran Samy Vellu-Pandithan bermula pada 1988 apabila presiden IPF itu diberikan surat tunjuk sebab selepas didakwa mengamalkan politik berorientasikan kasta.

Pada 4 Jun tahun itu, Pandithan - ketika itu naib presiden MIC - memulakan mogok lapar di hadapan bangunan ibu pejabat parti dengan membawa bersama keranda untuk menandakan bahawa demokrasi telah mati dalam partinya.

Bantahan itu mendorong pemecatan Pandithan daripada MIC pada 16 Julai 1988, bersama 13 lagi penyokong kuatnya.

Digugurkan

Bernama melaporkan, Pandithan dilahirkan pada 3 April 1940 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Tamil San Peng sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah St Anthony di Kuala Lumpur.

Pemegang diploma dalam bidang kewartawanan, Pandithan memulakan kerjayanya di akhbar Tamil Nesan sehingga menjadi seorang penyunting.

Ayahnya Muthandi Palanisamy bekerja tukang sapu bandaraya dan ibunya M Karupayee pula seorang pencuci kain.

Pandithan menjadi setiausaha parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 1986 tetapi digugurkan pada 1989 selepas disingkirkan dari MIC.

Mendiang menyertai MIC pada 1975 sebelum menjadi pengerusi MIC cawangan Loke Yew-San Peng setahun kemudian. Pada 1977 beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa kerja pusat parti dan empat tahun kemudian dipilih naib presiden.

Pada 1985, beliau dilantik sebagai senator dan tahun berikutnya, menjadi ahli parlimen Tapah. Dalam pemilihan parti 1987, beliau kekal menjadi naib presiden sebelum terlibat dalam perbalahan dengan Samy Vellu.

Berbaik semula

Pada mulanya IPF menyertai pembangkang dan pada pilihanraya umum 1990, Pandithan bertanding bagi kerusi parlimen Teluk Intan tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional.

Namun, pada pilihanraya berikutnya, IPF menyokong BN. Pada tahun itu, Pandithan sekali lagi dilantik menjadi senator.

Pada 2000, Pandithan dihadiahkan sebuah kereta Mercedes-Benz 230E oleh ahli-ahli IPF sebagai penghargaan kepada usaha dan jasa beliau.

Selepas hubungannya dengan Samy Vellu kembali pulih, di perhimpunan agung IPF tahun lepas, Pandithan mengisytiharkan Samy Vellu sebagai "wira kaum India".

Balu ambil alih IPF

Kepimpinan IPF akan diambil alih oleh balunya Jevashree Pandithan.

Perdana menteri Datu Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa ahli-ahli parti itu agar memberikan sokongan padu kepada pemimpin baru mereka.

Hindu Sangam Malaysia menyifatkan Pandithan sebagai "makkal thondan" atau pelayan masyarakat dan menghormati ahli-ahli IPF dengan rasa cinta.

"Malang sekali sebutir bintang yang sedang bersinar pada 1970-an menjadi korban pergolakan politik zaman itu," kata presidennya Datuk A Vaithilingam.

Naib presiden Gerakan, Datuk Dr S Vijayaratnam, pula menyifatkan mendiang bergerak dan hidup seumpama Mahatma Gandhi, tokoh pejuang kemerdekaan India, "tidak pernah melampiaskan kemarahannya tetapi tegas apabila perlu."

ADS