Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

eksklusif Penasihat Gerakan, Dr Lim Keng Yaik mencadangkan beberapa pendekatan untuk memulihkan semula kekuatan Barisan Nasional, bermula dengan mengubah cara Umno melayan parti-parti komponen BN.

"Langkah pertama ialah meyakinkan Umno bahawa sikap cepat puas hati, angkuh dan salah guna kuasa mesti dihentikan.

lim keng yaik interview 280408 08 "Ubah cara bagaimana Umno harus melayan parti-parti komponen BN serta memberi tanggapan kepada rakyat pelbagai kaum bahawa kita sama-sama duduk semeja merancang untuk rakyat Malaysia dan bukan untuk satu kaum sahaja," katanya.

Tegasnya, parti-parti komponen BN tidak boleh dilihat seolah-olah seperti meminta sedekah dan persepsi inilah yang telah bertukar menjadi undi negatif dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Pendekatan kedua, tegas bekas menteri tenaga, air dan komunikasi itu ialah untuk kesemua 14, termasuk Umno, bergabung dan menjadikan BN sebuah parti pelbagai kaum.

Jika usaha itu gagal, katanya, 13 parti komponen BN yang lain boleh bergabung jika Umno tidak mahu berbuat demikian.

"Jika Umno tidak boleh menerima penggabungan BN menjadi sebuah parti pelbagai kaum [...] maka parti-parti komponen BN yang lain boleh memikirkan untuk bergabung dan menjadi rakan kepada Umno.

Senario politik baru

lim keng yaik interview 280408 05 "Daripada bertindak mengikut cara masing-masing, (13 parti komponen BN itu) boleh menjadi sebuah parti yang besar dan ia akan memberi kesan yang lebih besar untuk berdepan dengan Umno," tegasnya dalam wawancara dengan Malaysiakini Isnin lalu.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac, BN memenangi 140 kerusi parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. BN juga tumbang di empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.

Bekas presiden Gerakan mengakui bahawa beliau gagal untuk mengubah senario politik dan BN untuk menerima pendekatan politik pelbagai kaum.

Lim secara tidak langsung mengakui kekalahan Gerakan itu ada kaitan dengan Umno walaupun berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak mahu "menuding jari."

"Dalam kawasan majoriti Melayu, Umno menyumbang (undi), tetapi Umno tidak menyumbangkan (undi) Melayu di kawasan bandar. Kerusi pengundi campuran yang selamat sejak 15 tahun lalu, adalah yang paling teruk terjejas (dalam pilihanraya umum ke-12).

umno 2007 pemuda keris 061107 group "Bukan Melayu melihat keangkuhan Umno, ketuanan Melayu, keris dihunus, dan cara mereka berucap di perhimpunan agung Umno.

'Siapa puncanya'

"Kita (Gerakan) juga tidak menyumbang undi. Kita juga gagal. Tetapi siapakah yang menjadi puncanya?" tegas beliau.

Ditanya mengenai pertikaian dalam Umno sekarang, Lim berkata, jika parti itu berterusan begitu, ia akan memberi kesan negatif dalam pilihanraya umum akan datang.

"Jika anda mahu menyelesaikan (pertikaian itu), lakukan dengan segera. Dan ia hanya boleh diselesaikan oleh pemimpin Umno. Mereka perlu tahu apa yang terbaik untuk parti tersebut," tegasnya.

Umno berdepan dengan masalah dalaman apabila ada ahli-ahlinya mendesak dilakukan peralihan kuasa daripada presidennya dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Lim meramalkan bahawa Pakatan Rakyat juga akan berdepan dengan masalah yang dihadapi oleh BN selama ini.

"Mereka akan berdepan dengan masalah sama yang kita hadapi selama ini. Mereka akan terpaksa menyelesaikan masalah dengan PAS seperti kita perlu menyelesaikan masalah dengan Umno.

"Mereka akan perlu menyelesaikan masalah masyarakat minoriti kaum India dan yang lain-lainnya secara saksama," katanya.

>>> Bahagian kedua PM silap tak jawab kritikan Mahathir

ADS