Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
EGM sokong, wakil bantah presiden
Diterbitkan:  May 1, 2008 12:51 PM
Dikemaskini: 3:30 PM

kemaskini 9:27pm Mesyuarat agung tergempar (EGM) Umno bahagian Bandar Tun Razak meluluskan tiga resolusi, termasuk sokongan kepada presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan ketua badan perhubungan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

"Biarlah orang lain nak bercakap mengenai peralihan kuasa, sebenarnya dalam keadaan hari ini, kita jitukan perjuangan untuk tidak menukar kepimpinan.

"Bermula hari ini kita tanamkan tekad tidak lagi bercakap mengenai peralihan kuasa, sebaliknya bersama-sama akan memberi sokongan padu untuk pucuk pimpinan meneruskan perjuangan," kata pemangku ketua bahagian itu Datuk Rahim Baba dalam ucapan pembukaan mesyuarat di Taman Teknologi Malaysia, hari ini.

"Saya percaya beliau (Abdullah) juga telahpun mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan itu. Mungkin langkah-langkah yang diambil itu agak terlewat, namun biar lambat asal selamat."

Selain dua resolusi tersebut, bahagian itu juga mencadangkan kuota pencalonan bagi semua jawatan tertinggi, ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) dan jawatankuasa bahagian dihapuskan.

Cadangan menghapuskan kuota itu masing-masing melibatkan pemansuhan fasal-fasal 9.5 dan 15.5 perlembagaan parti itu.

Umno kini mewajibkan 30 peratus sokongan daripada semua 191 bahagian sebelum melayakkan seseorang bertanding jawatan presiden, manakala timbalan presiden sebanyak 20 peratus, naib presiden (10 peratus) dan anggota MT (lima peratus).

Untuk pemilihan bahagian, perlembagaan Umno mewajibkan calon ketua mendapat 20 peratus sokongan cawangan, timbalan (15 peratus), naib ketua (10 peratus) dan ahli jawatankuasa (dua peratus cawangan).

EGM bahagian Umno ini yang keempat diadakan sejak pilihanraya umum 8 Mac dan pertemuan pertama selepas Abdullah menegur bahagian-bahagian agar menghentikan pertemuan seumpama itu bagi mengurangkan perpecahan dalam parti dan menumpukan pada isu-isu rakyat.

Bagaimanapun, lapor Bernama , mesyuarat yang tenang pada awalnya bertukar hangat apabila sebahagian besar daripada 15 perwakilan berucap menyokong peralihan kuasa dan mengkritik kepimpinan Zulhasnan.

Ketua penerangan cawangan Bandar Tasik Permaisuri, Abdul Moin Abdul Manaf menggesa Abdullah meletakkan jawatan sebelum pemilihan agung Umno, dijadual 16-20 Disember ini.

Abdullah, katanya, gagal mempertahankan Pulau Pinang - negeri kelahirannya sendiri - sehingga jatuh ke tangan DAP dan juga tidak berjaya mempertahankan majoriti dua pertiga BN di parlimen.

Zulhasnan pula dianggap penyebab kekalahan BN di Wilayah Persekutuan sehingga 10 daripada 13 kerusi parlimen - termasuk Putrajaya dan Labuan - jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Drama ketegangan EGM bahagian itu, yang disertai pembahas- pembahas cawangan lain, berjaya diredakan apabila Rahim merayu semua perwakilan menerima usul resolusi yang dikemukakan anggota jawatankuasa (AJK) bahagian.

Sentimen perwakilan Bandar Tun Razak itu mengulangi mesyuarat tergempar di tiga bahagian sebelum ini - Gua Musang, Batu Pahat dan Cheras.

Semuanya, dengan nada dan bahasa berbeza-beza, mendesak Abdullah mengambil tanggungjawab atas ketewasan teruk parti itu dan BN dalam pilihanraya umum lalu.

Batu Pahat minggu lalu menggesa pelan peralihan kuasa Abdullah kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak disegerakan - lanjutan cadangan badan perhubungan Umno Johor pada 11 April lalu.

Dalam ucapan awalnya juga, Rahim turut menggesa pemimpin- pemimpin kanan politik Melayu, termasuk pembangkang, duduk berbincang bagi mengatasi masalah perpecahan Melayu.

ADS