Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 10:14pm Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mengalu-alukan cadangan presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting di Dewan Rakyat semalam agar seseorang mualaf dibenarkan meninggalkan Islam tanpa sebarang halangan.

"Seseorang mualaf harus mempunyai hak untuk kembali kepada agama asalnya tanpa sebarang halangan perundangan," kata presiden majlis itu Datuk A Vaithilingam.

"Bagaimanapun, jika seseorang itu masih mempunyai keluarga Islam, penukaran kepada agama asalnya tidak boleh disalahgunakan untuk mengelak daripada tanggungan Muslimnya."

Ong juga mencadangkan saudara baru diberikan satu tempoh masa tertentu untuk memaklumkan penukaran agama itu bagi memastikan keadilan kepada ahli keluarganya dan menghindari perbalahan di kemudian hari.

Vaithilingam menambah, seseorang yang menukar agama tidak patut mencetuskan kesengsaraan kepada ahli keluarganya yang berbeza agama.

"Pandangan yang disuarakan oleh presiden MCA patut dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia yang boleh berfikir dengan baik daripada semua agama," katanya lagi.

"Penukaran agama kepada Islam tidak patut digunakan sewenang- wenanganya untuk mengelakkan tanggungjawab kepada keluarga (asal yang bukan Islam)."

Majlis itu juga mendesak kerajaan negeri dan persekutuan memperbaiki lompong-lompong dalam perundangan supaya rakyat bebas mengamalkan agama pilihan masing-masing dan sekali gus mengekalkan keharmonian hidup berkeluarga.

Cadangan presiden MCA itu dibuat ekoran pengumuman perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi beberapa minggu lalu bahawa kerajaan berhasrat memperkenalkan peraturan mewajibkan seseorang yang ingin memeluk Islam memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai status agamanya.

Kerajaan mengambil langkah itu bertujuan mengelak masalah sewaktu saudara baru itu meninggal dunia.

Vaithillingam turut berkata, seseorang daripada keluarga bukan Islam tidak patut dinafikan hak pewarisan harta disebabkan tindakannya memeluk Islam.

Orang Islam dan bukan Islam daripada keluarga yang sama patut berkongsi supaya tidak ada pihak yang tidak mendapat faedah, tambahnya.

"Kita harus berwaspada, bahawa membuat garis ketetapan (masa) harta si mati berdasarkan tarikh pertukaran agama bukanlah cara terbaik untuk mencapai keputusan yang sama rata untuk semua," katanya lagi.

ADS