Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rundingan perolehan bagi pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kelulusan daripada semua peringkat serta mematuhi Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Rundingan mengikut prosedur itu, tegasnya, melibatkan pelbagai peringkat kelulusan, termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian dibuat bagi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM.

"Semuanya telah diperiksa oleh agensi pusat sebelum kita menandatangani kontrak tersebut," kata Najib yang juga menteri pertahanan.

"Janganlah kita membuat tuduhan melulu, (sebaliknya) mesti fokus pada fakta sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja dan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

Najib diminta mengulas ucapan Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat semalam, yang meminta kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat pembelian peralatan ketenteraan oleh Kementerian Pertahanan.

Wan Azizah memetik pembelian peralatan ketenteraan, khususnya pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM4.5 bilion dan pesawat pejuang Sukhoi bernilai RM3.2 bilion, yang didakwa membabitkan pembayaran komisyen yang besar.

Presiden PKR itu berkata persepsi rakyat ialah ia mungkin bukan bayaran komisyen tetapi rasuah antara pemimpin dan individu yang menerima komisyen tersebut.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan hari ini menjelaskan bahawa semua pembelian, termasuk kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi, dijalankan mengikut tatacara pelaksanaan kontrak perolehan peralatan pertahanan negara oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian tersebut menjelaskan, ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa rundingan harga, setelah penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan angkatan tentera Malaysia.

Selain itu, katanya, rujukan juga dibuat kepada pihak Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut.

"Semua terma-terma dan kelulusan untuk rundingan terus, dikemukakan kepada Kementerina Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan kementerian kewangan diperolehi," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan bertarikh 26 April itu, diedarkan sekali lagi selepas sidang akhbar timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga menteri pertahanan, untuk menjawab kenyataan-kenyataan oleh pihak-pihak tertentu mengenai pembelian Scorpene dan Sukhoi.

Berhubung pembelian kapal selam Scorpene, kementerian tersebut menegaskan dakwaan kerajaan telah membayar komisyen sebanyak RM540 juta kepada Abdul Razak Baginda merupakan satu tuduhan yangt tidak berasas sama sekali.

"Kementerian juga ingin menegaskan bahawa dalam soal perolehan kapal selam scorpene, tidak ada sebarang komisyen dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, seperti yang didakwa.

"Ini kerana perolehan kapal selam telah dibuat secara rundingan terus - selaras dengan tatacara perolehan kerajaan - dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

"Sebaliknya, Syarikat Perimekar Sdn Bhd yang didakwa menerima komisyen, sebenarnya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordianasi untuk tempoh selama enam tahun.

"Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak EURO 114.96 juta yang dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kamajuan melaksanaan projek," tegas kenyataan itu lagi.

Perimekar dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holding Bhd, dan K S Ombak Laut Sdn Bhd.

Khidmat sokongan

Kementerian pertahanan menjelaskan jumlah kontrak EURO 114.96 juta bukan keuntungan bersih milik Syarikat Perimekar Sdn Bhd.

Jumlah itu, sebaliknya pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung bagi perkhidmatan koordinasi seperti yang ditetapkan dalam kontrak.

Antara perkhidmatan sokongan ialah menyedia kemudahan kediaman dan kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga selama enam tahun di Perancis dan Sepanyol. Menyediakan pejabat urusan dan kediaman beserta kelengkapan bagi krew kapal selam TLDM seramai orang untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.

Sehubungan itu, syarikat itu membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO 60 sehari untuk tiga tahun kedua.

Sementara perkhidmatan koordinasi pula antara lain, Perimekar bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat tempatan yang berpotensi untuk menyertai program "off-set" serta membantu kontraktor utama memberi maklumat mengenai prosedur kerajaan berhubung perlaksanaan kontrak.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk melantik syarikat tempatan yang mampu menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kerana kaedah ini dianggap sesuai dan berkesan.

Ia juga bertujuan untuk melicinkan kerja kerja tim projek membuat pemantauan pembinaan dan latihan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

Selain itu, kaedah ini dapat perbelanjaan dapat dikawal dan mengikut jadual pembinaan di samping dapat mengelak daripada perbelanjaan luar jangka memandangkan masa yang panjang selama enam tahun diambil serta bilangan anggota yang ramai, untuk menyiapkan pembinan kapal tersebut.

Berdasarkan kepada keperluan tersebut, maka syarikat Perimekar Sdn Bhd telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan mengikut skop kerja yang ditetapkan, kata kenyataan itu lagi.

ADS