Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib anggap Karpal persoal perlembagaan
Diterbitkan:  May 6, 2008 3:54 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mempersoalkan kuasa Sultan Perak dalam pentadbiran kerajaan negeri khususnya dalam kes pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury, sebagai satu perbuatan yang mempertikaikan peruntukan perlembagaan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata adalah jelas semua bidang kuasa mencakupi kuasa Raja dan kuasa kerajaan termasuk kerajaan negeri telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru tidak seharusnya wujud sebarang pertikaian oleh mana-mana pihak.

"Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa dalam bidang agama, kuasa raja adalah kuasa mutlak.

"Jadi kuasa atau keputusan yang dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah selaras dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Tidak boleh dipertikaikan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja dan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pertahanan hari ini.

Menurut laporan Bernama, Najib mengulas kenyataan Karpal Singh semalam bahawa Sultan Perak tidak mempunyai hak untuk campurtangan dalam keputusan kerajaan negeri, termasuk mengarah menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membatalkan arahan pertukaran dan melantik semula Jamry sebagai Pengarah JAIP.

Menurut laporan Bernama, Karpal mendakwa arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang dan sepatutnya keputusan terdahulu kerajaan negeri mengarahkan pertukaran Jamry dikekalkan.

Peguam Negara

Mengulas sama ada kenyataan Karpal Singh itu bakal mencetuskan polemik khususnya dalam kalangan mereka yang mempertahankan kuasa Raja di bawah perlembagaan, Najib berkata sudah semestinya ada pihak yang akan marah dengan kenyataan yang mempertikaikan kuasa Sultan.

Ketika ditanya sama ada Karpal Singh yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor telah melanggar Akta Hasutan 1948, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata perkara itu tertakluk kepada tafsiran Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail.

"Keputusan untuk mengkaji perkara berkenaan juga terserah kepada beliau (Peguam Negara), bukan pada kita (kerajaan)," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan mempunyai peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa kepada perbalahan antara kaum atau konflik lain yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negara.

"Kita ada peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk kita mengambil apa-apa tindakan untuk mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa kepada keadaan perbalahan antara kaum dan sebagainya.

"Jadi dalam sebarang isu kita akan memantau perkembangannya, dan sekiranya ada kesan yang boleh menjurus kepada keadaan di mana menggugat ketenteraman awam, maka pada masa itu kerajaan akan ambil tindakan," kata Timbalan Perdana Menteri.

Akta Hasutan

Beliau berkata ahli parlimen, walaupun diberi keistimewaan untuk bercakap mencakupi semua perkara khususnya semasa sidang parlimen, tetapi ia tidak boleh bercanggah dengan Akta Hasutan.

"Kita terpaksa terima apa-apa peruntukan. Dalam parlimen pun ada perlindungan yang diberikan oleh perlembagaan namun sesuatu yang bersifat hasutan tidak boleh disebutkan dalam parlimen, maknanya perlindungan dalam parlimen ini bukanlah perlindungan yang tidak ada hadnya, bukan `absolute' (mutlak) tapi ada peruntukan yang mesti dipatuhi oleh setiap ahli parlimen seperti undang-undang hasutan," kata Najib.

Jumaat lalu, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar supaya menarik balik arahan pertukaran terhadap Jamry yang dibuat pada 29 April, selepas Jamry didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

Pertukaran itu dikatakan ada kaitan dengan isu pentadbiran agama, dan usaha kerajaan negeri yang baru, untuk menukar senarai ahli jawatankuasa masjid di seluruh Perak.

Arahan Sultan Perak itu terkandung dalam kenyataan akhbar tiga muka surat yang dikeluarkan atas titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah selepas Mohammad Nizar menghadap baginda di Istana Raja Muda Perak.

Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry sebagai membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak.

Ketua agama

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin, berkata tindakan Karpal dianggap tidak wajar, malah menghina kedaulatan Sultan dan Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negara ini.

Katanya, tindakan Sultan Azlan Shah berhubung Jamry tidak perlu dipertikaikan kerana soal agama dan adat istiadat adalah di bawah tanggungjawab Sultan.

"Saya percaya bahawa apa yang dilakukan oleh Sultan adalah untuk menjaga keharmonian dalam perkhidmatan kerajaan di peringkat negeri supaya tidak berlaku isu, masalah dan sebagainya," katanya di Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pula berkata tindakan Karpal itu dianggap biadap kerana mencabar kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam dan Adat Resam Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perbuatan Karpal itu sewajarnya dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan kerana menghasut rakyat mempertikaikan kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu sebagai pihak yang berkuasa dalam pentadbiran agama Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Sultan dan Raja-Raja Melayu selaku ketua agama yang tidak boleh dipertikaikan kuasanya dan perbuatan Karpal itu memperlekeh pentadbiran agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata arahan Sultan Azlan supaya Jamry dilantik semula adalah betul kerana ia berada di bawah bidang kuasa baginda sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat Melayu negeri itu.

"Jika benar seseorang pentadbir jabatan atau majlis agama itu tidak selari dengan kerajaan negeri, cara yang patut dilakukan adalah dengan menghadap dan memohon perkenan Tuanku.

"Tuanku ialah seorang Sultan yang profesional, seorang bekas pengamal undang-undang dan hakim dan tentunya mempunyai pandangan yang profesional dalam hal ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

ADS