Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penulis mengaku tidak bersalah
Diterbitkan:  May 6, 2008 5:44 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Seorang ahli perniagaan yang juga penulis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan menerbitkan kata-kata berunsur hasutan melalui komen terhadap satu artikel

dalam lamanweb Malaysia Today.

Kata-kata berunsur hasutan bertajuk 'IT IS EASY TO IMPRESS THE MALAYS' adalah komen terhadap artikel diterbitkan pengendali dan editor lamanweb Malaysia Today , Raja Petra Raja Kamarudin bertajuk ' 03/06:Malaysia's Organised Crime Syndicate:all roads lead to Putrajaya'.

Syed Akbar Ali, 48, yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, didakwa melakukan kesalahan itu di Zeenath Begum Jewellers Sdn Bhd, No 2007, Jalan Masjid India, di sini, pada jam 2.59 petang 5 Jun 2007.

Menurut laporan Bernama, bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama, beliau boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi kesalahan seterusnya, Syed Akbar, yang diwakili peguam Ashok Kandiah, Haris Ibrahim dan Malik Imtiaz Sarwar, boleh dipenjara tidak lebih daripada lima tahun.

Sementara itu, timbalan pendakwaraya Ishak Yusof menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh. Pendakwaan turut diwakili timbalan pendakwaraya, Hanafiah Zakaria.

Dalam permohonan untuk mengurangkan jumlah jaminan itu, Ashok berkata anak guamnya yang menjalankan perniagaan dengan isterinya di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Jun 2007 dan penyiasatan dijalankan pada Ogos.

Beliau berkata sepanjang penyiasatan itu, anak guamnnya yang juga bekas pegawai bank memberikan kerjasama penuh kepada polis.

"Pendakwaan juga tidak mengganggap yang beliau berisiko melarikan diri, jadi kami meminta mahkamah menimbangkan jumlah jaminan nominal. Mungkin tidak wajar bagi peguam bela mencadangkan jaminan tetapi mungkin amaunnya tidak lebih RM1,000," katanya.

Hakim S.M Komathy Suppiah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin. Isteri tertuduh membayar jaminan itu.

ADS