Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa buat usul bincang isu Karpal
Diterbitkan:  May 7, 2008 3:24 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mencadangkan agar kerajaan mengemukakan usul di Dewan Rakyat bagi membincangkan tindakan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong semasa perasmian persidangan parlimen minggu lalu.

Razali Ibrahim (BN-Muar), yang menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, berkata tindakan Karpal mempersoalkan siapa yang menulis titah diraja itu adalah satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(8) iaitu jika ingin membicarakan soal perlakuan Yang di-Pertuan Agong dan ini termasuk titah, Yang Berhormat Bukit Gelugor kena buat usul. Tetapi beliau tidak berbuat demikian dan ini sendiri telah melanggar peraturan.

"Pada masa yang sama saya juga sedar di bawah 26(1p), saya dah terlepas kerana peraturan itu mensyaratkan supaya usul dibuat semasa ia berlaku, iaitu minggu lalu.

"Oleh sebab itu saya cadangkan pihak kerajaan membuat satu usul berkenaan Yang Berhormat Bukit Gelugor, supaya dapat kita bahas dan buat keputusan. Kalau boleh bawa Yang Berhormat Bukit Gelugor ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," katanya.

Menurut laporan Bernama, istilah 'derhaka' yang digunakan Razali mencetuskan kekecohan di kalangan Pembangkang yang meminta supaya beliau menarik balik kenyataan itu.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) berkata soal kesetiaan kepada raja dan negara tidak wajar dipertikaikan kerana setiap daripada mereka telah mengangkat sumpah setia di samping diluahkan semasa menyanyikan lagu kebangsaan 'Negaraku'.

Sumpah taat setia

Bagaimanapun, kenyataan Fong ditempelak oleh Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) yang berkata sekadar mengangkat sumpah taat setia dan menyanyikan lagu 'Negaraku' tidak cukup untuk menunjukkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Ia perlu juga ditunjuk melalui perlakuan kita. Sebab itu kadang-kadang bila ada sahabat kita di sebelah sana (Pembangkang) semasa bercakap berkobar-kobar sehingga ada yang berpendapat tidak taat dan erhaka," katanya.

Fong, sebelum itu turut meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar agar menarik balik kenyataannya yang disifatkan tidak mencerminkan bangsa Malaysia.

"Tadi dalam keputusan Datuk Timbalan Yang Dipertua kata satu penghormatan bagi orang Melayu bila bercakap pasal perkara berkaitan raja, saya pohon tarik balik sebab kita semua taat kepada raja," katanya.

Bagaimanapun, Wan Junaidi enggan menarik balik kenyataannya yang dibuat semasa membuat keputusan berhubung peraturan mesyuarat meminta supaya Razali menarik balik kenyataan mengatakan Karpal menderhaka.

"Bagi orang Melayu penghormatan kepada raja dan sultan amat penting. Dalam hal ini sesiapa yang sentuh soal sultan atau raja dianggap tidak taat kepada sultan," kata Wan Junaidi.

Karpal sebelum itu meminta Wan Junaidi membuat keputusan terhadap Razali kerana mengatakan beliau 'mengkhianati' raja semata-mata kerana ingin tahu siapakah yang sebenarnya menulis titah diraja itu.

Adat orang Melayu

Wakil rakyat Bukit Gelugor itu, yang merujuk kepada perkataan 'treason' dalam Peraturan Mesyuarat versi Bahasa Inggeris, berkata seseorang wakil rakyat tidak boleh menggunakan perkataan itu terhadap ahli dewan yang lain.

Razali, yang mempertahankan hujahnya, berkata beliau tidak pernah menuduh Karpal khianat atau menderhaka.

"Saya hanya berkata kalau di mahkamah, seseorang yang mempertikaikan keputusan hakim dianggap menghina, tapi di dalam dewan yang mulia ini kalau saya boleh guna perkataan derhaka, saya boleh kata Yang Berhormat Bukit Gelugor menderhaka," katanya.

Kata-kata Razali disokong menteri pembangunan usahawan dan koperasi Datuk Noh Omar yang bangun dan berkata isu sebenar berpunca daripada salah tafsir dan tidak faham bahasa Malaysia oleh pembangkang, selain tidak memahami adat orang Melayu.

Turut membuat penjelasan ialah menteri sains, teknologi dan inovasi, Dr Maximus Ongkili yang berkata isu siapa yang menyediakan titah Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan persidangan parlimen minggu lalu tidak patut dibangkitkan.

Ini kerana, kata ahli Parlimen Kota Marudu, penyediaan titah itu telah melalui beberapa proses termasuk tapisan sebelum akhirnya dijadikan titah diraja.

Timbalan Speaker menutup perbincangan mengenai isu derhaka dan titah itu dengan membuat keputusan pihak kerajaan wajar membuat usul berhubung kenyataan Karpal yang mempertikaikan titah diraja.

ADS