Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua laporan polis dibuat terhadap pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempersoalkan kuasa Sultan Perak dalam pentadbiran kerajaan negeri khususnya dalam kes pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury.

Kedua-dua laporan tersebut dibuat di balai polis Brickfields petang ini oleh dua pihak yang berlainan.

parliament bbc karpal singh police report 080508 02 Pihak yang pertama ialah Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) manakala satu lagi laporan dibuat oleh Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).

Laporan itu dibacakan kepada wartawan oleh penasihat undang-undang BNBBC, Razali Ibrahim.

Bercakap kepada wartawan, Razali yang juga ahli parlimen Muar berkata:

"Laporan ini antara lain berkata, merujuk kepada kenyataan dalam surat khabar The Star pada 5 Mei yang mana antara lain, beliau dilaporkan menyebut sebagai Sultan Perak tidak mempunyai hak perundangan terhadap pertukaran Datuk Jamry Sury daripada Majlis Agama Islam Perak.

Dianggap biadap

"Dan dalam suratkhabar yang sama beliau juga dilaporkan berkata Sultan Azlan Shah tidak berhak bersuara sebagai pemerintah Perak terhadap keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri, dan mengikut undang-undang, istana tidak boleh memerintahkan kerajaan negeri menarik semula tindakan terhadap Jamry," katanya.

Laporan itu ditandatangai oleh pengerusi BNBBC Datuk Seri Tiong King Sing yang juga ahli parlimen Bintulu.

parliament bbc karpal singh police report 080508 03 Lima lagi ahli parlimen yang hadir adalah ahli parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz, Ahmad Maslan (Pontian), Mohd. Puad Zarkashi (Batu Pahat) dan Datuk Ismail Kasim (Arau).

"Kenyataan ini kita rasa perlu disiasat oleh pihak polis dalam usaha mempertahankan perlembagaan persekutuan dan perlembagaan negeri dalam hak kita menjamin keistimewaan Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Perak dan kedaulatan Raja-Raja Melayu," kata Razali.

"Kita mengharapkan, melalui laporan ini, pihak polis dapat menyiasat apa jua kesalahan yang dilakukan oleh berhormat Karpal Singh di bawah mana-mana undang-undang negara yang menyentuh hak insitusi Raja-Raja Melayu terutamanya di bawah Akta Hasutan 1948," tambahnya.

Manakala BBPM pula menyifatkan tindakan Karpal itu sebagai biadap kerana hak-hak Sultan tidak boleh dipertikaikan.

‘Berbaur hasutan'

Yang berhormat telah melakukan salah laku dengan secara biadap terhadap institusi diraja Perak dan secara tidak langsung mahu peka terhadap sensitiviti orang Melayu yang sentiasa mendaulatkan institusi kesultanan dan agama Islam.," kata ketua umum BBPM, Osman Abu Bakar.

"YB juga telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan fitnah kepada duli yang teramat mulia (DYTM) Tengku Muhammad Faris Petra, Tengku Mahkota Kelantan ketika mengulas titah baginda di perhimpunan perpaduan Melayu pada 12 April 2008 di PWTC," tambahnya.

malay action society karpal singh police report 080508 01 Salah laku ini, katanya, adalah menyalahi perkara 3 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan. Perkara seumpama ini memerlukan siasatan rapi dan tindakan sewajarnya hendaklah diambil oleh pihak yang berkuasa terhadap ahli yang berhormat tersebut, katanya.

Beliau meminta pihak polis dan peguam negara supaya mendakwa Karpal.

Badan gabungan NGO Melayu ini meminta polis turut membuat siasatan terhadap Karpal kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong kerana mempersoalkan siapa yang menulis titah baginda sewaktu perasmian persidangan parlimen minggu lalu.

Osman juga mendakwa BBPM mempunyai lebih sejuta ahli dengan 30 gabungan NGO Melayu bernaung di bawah mereka.

ADS