Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy nafi dakwaan berpakat dengan Anwar
Diterbitkan:  May 10, 2008 8:06 PM
Dikemaskini: 5:10 PM

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menolak dakwaan kononnya beliau berpakat dengan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melobi ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti dan mewujudkan kerajaan baru dalam Pakatan Rakyat.

"Itu adalah mitos, fantasia. Kalau begitu senanglah, pakat kemudian dia (Anwar) jadi Perdana Menteri Ogos ini, dan saya timbalan perdana menteri...Alhamdulillah," katanya berseloroh.

Menurut laporan Bernama, Khairy, yang juga ahli parlimen Rembau, enggan mengulas keputusan Pemuda Umno Pahang yang mencadangkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob untuk bertanding jawatan ketua Pemuda dalam pemilihan parti Disember ini.

Pemuda Umno Pahang berpendapat bahawa Khairy belum sesuai untuk menjadi

Ketua Pemuda dan mencadangkan beliau mempertahankan jawatan naib ketua yang beliau sandang sekarang.

"Kita bincang (perkara) itu kemudian," kata Khairy.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa kesemua 14 bahagian Pemuda Umno Pahang akan mencalonkan Adnan Yaakob bertanding jawatan ketua pergerakan tersebut.

Ketua Pemuda Umno Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob berkata, pihaknya beranggapan Adnan merupakan calon terbaik bagi mengisi jawatan berkenaan kerana beliau seorang yang berkarisma dan memiliki personaliti tegas yang sesuai bagi mengawal golongan muda dalam parti.

“Kesemua ketua Pemuda bahagian di Pahang telah bersetuju untuk mencalonkan Adnan dalam mesyuarat yang akan bermula Oktober depan,” katanya dalam laporan Utusan hari ini.

Menurut Khairuddin, Pemuda Umno kini berhadapan dengan krisis kepercayaan untuk memilih pemimpin baru berikutan ketua sedia ada, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut.

ADS