Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jika kerajaan pusat terus menganaktirikan Sabah dan mengabaikan tuntutan parti-parti komponen BN negeri itu, tsunami politik akan berlaku di kalangan ahli parlimen di negeri tersebut.

"Saya tidak kata tsunami politik itu adalah lompat parti tetapi lebih baik menubuhkan parti politik yang baru," kata ahli parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh kepada Malaysiakini hari ini.

Ketua bahagian Umno itu berkata langkah itu lebih baik daripada menyertai PKR atau Pakatan Rakyat jika mereka tidak berpuas hati dengan BN.

Bekas timbalan menteri itu bagaimanapun berkata beliau sendiri tidak akan berbuat demikian kerana tidak berminat pada parti pimpinan Dr Wan Azizah Wan Ismail, kini ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

"Saya tidak tahu mengenai lompat parti kerana saya sendiri tidak minat kepada PKR.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah mendapat tawaran untuk lompat parti," katanya lagi.

Mengenai pembangunan ekonomi, Abdul Ghapur berkata, kemajuan di Sabah dan Semenanjung ibarat langit dan bumi.

Katanya, masih ada penduduk Sabah yang terpaksa masuk hutan jika mahu membuang air.

"Banyak lagi contoh yang boleh saya berikan tetapi saya merasa malu hendak sebut," tambahnya.

Abdul Ghapur semasa berucap di sidang Dewan Rakyat hari ini juga berkata, terlalu banyak ketidakadilan BN dan kerajaan persekutuan terhadap rakyat Sabah.

"Jika harapan rakyat Sabah tidak dipenuhi, tsunami akan melanda Sabah. Jika ia melanda Sabah, ia akan menyapu semua," katanya lagi.

Abdul Ghapur berkata, rakyat Sabah sudah lama tidak puas hati dengan layanan kerajaan pusat kepada penduduk negeri itu.

Selain ekonomi, kata ahli politik berpengalaman itu, rakyat Sabah kecewa dengan pengagihan jawatan dalam kabinet yang menurutnya tidak adil kepada pemimpin BN negeri itu.

"Mengapa negeri yang BN kalah dapat empat menteri termasuk menteri kemajuan luar bandar yang begitu penting kepada rakyat Sabah.

"Sebuah lagi negeri sampai dapat enam menteri. Sepatutnya Sabah dapat lebih lagi (daripada sekarang).

"Sepatutnya jawatan-jawatan penting dalam kabinet diberikan kepada ahli-ahli Parlimen dari Sabah," katanya ketika ditemui di parlimen hari ini.

Abdul Ghapur berkata, akibat rasa tidak puas hati itu, ramai ahli-ahli Parlimen Sabah bercakap mengenai lompat parti.

ADS