Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Siswazah lulusan luar negara dibayar gaji lebih tinggi berbanding graduan institusi pengajian tinggi tempatan, sehingga lebih 10 peratus purata pendapatan dalam bidang utama.

Tinjauan terhadap 100,000 ahli agensi pencari kerja terkenal Jobstreet.com mendapati graduan luar negara dibayar 12 peratus lebih tinggi daripada siswazah tempatan.

Dalam tinjauan tahun ini, jurang gaji antara dua kumpulan ini menjadi lebih ketara selepas lima tahun bekerja.

Lulusan luar negara mendapat gaji 20 peratus lebih banyak daripada lulusan tempatan, kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Jurang pendapatan paling besar wujud dalam bidang berkaitan perniagaan seperti pengurusan, ekonomi, kewangan dan pemasaran.

Dalam bidang-bidang ini, graduan luar negeri memperolehi purata gaji kira-kira 15 peratus berbanding lulusan universiti tempatan.

Dalam bidang kejuruteraan dan perkomputeran pula, pendapatan siswazah luar negara 11 peratus lebih tinggi daripada graduan tempatan.

Bagaimanapun, kajian sama dalam kalangan 20,000 ahli agensi ini di Singapura mendapati tiada perbezaan ketara purata gaji antara dua kumpulan yang dibandingkan itu, walaupun selepas lima atau 10 tahun berkhidmat.

JobStreet.com merupakan agensi pencari kerja popular di rantau ini, termasuk terlibat di Filipina, Indonesia, India, Bangladesh dan Jepun.

Syarikat yang disenaraikan dalam papan utama Bursa Sekuriti Malaysia mempunyai lebih 50,000 pelanggan korporat dan lima juta pencari kerja.

ADS