Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Pemuda PAS menyatakan kebimbangan wujud penyelewengan akibat "kehilangan" royalti petroleum Terengganu sebanyak RM3 bilion sejak BN mengambil alih negeri itu pada 2004.

"Satu isu yang amat besar di sini ialah penyelewengan wang sebanyak RM3 bilion yang tidak diketahui ke mana dibelanjakan," kata Salahuddin Ayub.

Beliau mengulas kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam bahawa Petronas telah membayar RM7.3 bilion kepada negeri itu sejak empat tahun lalu.

Datuk Amirsham A Aziz memberitahu, dalam tempoh tiga tahun sehingga 2007, Petronas telah membayar sejumlah itu kepada Terengganu, RM1.2 bilion kepada Sabah dan RM4.8 bilion (Sarawak) dan RM13.4 (kerajaan Persekutuan).

Dalam satu kenyataannya hari ini, Salahuddin berkata kenyataan menteri itu bertentangan dengan dakwaan bahawa Terengganu menerima hanya RM4.3 juta.

"Dengan pendedahan oleh menteri besar Terengganu ini (Datuk Ahmad Said), bermakna sebanyak RM3 bilion telah tiris daripada dana rakyat Terengganu," katanya.

"Itupun, wang sebanyak RM4.3 bilion yang diterima oleh Terengganu adalah melalui dana khas kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih dikenali sebagai wang ehsan."

Beliau juga menimbulkan keraguan kepada pentadbiran negeri Terengganu sebelum ia diambil alih oleh Ahmad.

"Lebih membimbangkan lagi jika wang ini diselewengkan oleh menteri besar sebelum ini, Datuk Idris Jusoh. Kerana itu beliau berkeras mahu terus menjadi menteri besar bagi mengelakkan penyelewengan ini didedahkan," kata Salahuddin.

"Pemuda PAS percaya jumlah yang disebut oleh Datuk Ahmad Said sebanyak RM4.3 bilion yang dimasukan dalam bajet Terengganu itu termasuk yang digunakan untuk membina projek membazir di Pulau Wan Man dan Piala Monsun."

Bercakap kepada akhbar Sinar Harian , Idris dilaporkan berkata "beliau sendiri sebelum ini tidak mengetahui mengenai jumlah sebenar wang royalti Petronas" seperti dinyatakan Amirsham.

Menurut laporan akhbar itu hari ini, Idris berkata wang royalti dari tahun 2004 hingga 2007 bukan diurus atau dikawal kerajaan negeri.

Idris dilaporkan berkata lagi, kerajaan negeri ketika bawah pimpinannya sebelum ini "hanya dimaklumkan sebanyak RM1.3 bilion diberikan kepada Terengganu pada setiap tahun" dalam tempoh tiga tahun tersebut.

Beliau menambah, laporan itu dipetik, kenyataan Amirsham "seolah-olah menunjukkan pengurusan wang royalti minyak yang dibayar Petronas berada di bawah kawalan kerajaan negeri."

"Ia sebenarnya diselia oleh kerajaan pusat atau Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri sendiri tidak mengawal segala perbelanjaan yang dibuat oleh kementerian terbabit.

"Kita juga tidak pernah diberikan maklumat mengenai jumlah sebenar wang itu dibelanjakan dan baki yang ada.

"Manakala tuntutan supaya wang royalti petroleum itu diserahkan kembali kepada kerajaan negeri masih dalam proses mahkamah," beliau dipetik sebagai berkata.

Pemuda PAS juga mempertikaikan jika jumlah itu digunakan oleh kerajaan persekutuan, memandangkan hasil minyak itu untuk rakyat Terengganu.

"Pemuda PAS tidak menerima jika wang RM3 bilion ini dibelanja oleh kerajaan pusat untuk pembangunan Terengganu kerana ia adalah milik Terengganu, bukannya milik (kerajaan) pusat," katanya, sambil menambah lebih RM4 bilion wang royalti "diselewengkan" sewaktu negeri itu ditadbir PAS.

ADS