Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mendedahkan bahawa kabinet memutuskan pada hari pembubaran parlimen untuk menolak pelaksanaan dakwat kekal di jari pengundi dalam pilihanraya umum 8 Mac.

rashid uiam election seminar 170508 "Saya belum menyatakan sebelum ini bahawa yang sebenarnya terjadi ialah kabinet telah menolak cadangan kami (untuk memperkenalkan dakwat kekal) pada 13 Februari, hari parlimen dibubarkan," kata pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman di seminar mengenai pilihanraya umum 2008 di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini (foto kanan) .

SPR, katanya, sudah bersedia memperkenalkan langkah tersebut demi menolak keraguan orang ramai tentang pengundian berganda.

"Kami menerima tekanan dari banyak pihak (untuk melaksanakan dakwat).

"Saya tidak menyatakan ia hanya datangnya daripada parti pembangkang tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak kami berbuat sesuatu demi menghilangkan kebimbangan akan berlaku penipuan dalam pilihanraya.

"Kami memang percaya bahawa untuk meyakinkan orang ramai (bahawa kami memang suruhanjaya bebas), kami harus berbuat sesuatu dan setidak-tidaknya kami bersetuju menggunakan dakwat kekal.

"Kami sangat serius (untuk melaksanakannya). Kami menggariskan peraturannya dan menyerahkan kepada kabinet," katanya.

Tahun lalu SPR bersetuju melaksanakan langkah tersebut dalam pilihanraya umum ke-12 tetapi kemudian membatalkannya empat hari menjelang pengundian pada 8 Mac dengan alasan keselamatan.

Kira-kira RM2.9 juta dibelanjakan untuk membeli 48,000 botol dakwat tidak mudah padam dari India tetapi pelaksanaannya dibatalkan kerana bimbang wujud unsur sabotaj seperti telah dikesan oleh polis.

Siasatan tentang sabotaj itu tidak didedahkan dan sehingga kini tiada individu yang didakwa di mahkamah berhubung pembelian dakwat itu secara haram seperti didakwa oleh polis.

Selasa lalu, menteri keselamatan dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar memberitahu Dewan Rakyat bahawa SPR membatalkan cadangan dakwat kekal berdasarkan "bukti khabar angin".

Abdul Rashid juga mendedahkan bahawa kabinet telah terpengaruh dengan maklumat polis bahawa wujud parti-parti politik yang membeli sendiri dakwat-dakwat kekal dari luar negara.

"Saya dimaklumkan bahawa PAS di pantai timur membeli dakwat dari Thailand. Kemudian Umno mendapat tahu (mengenainya) dan Umno juga membeli dakwat tersebut.

"(Maklumat) ini diberikan kepada saya secara hitam putih oleh polis dan laporan yang sama diberikan kepada kabinet dan mereka (menteri) percaya ia memang benar-benar wujud," katanya.

Menurut Abdul Rashid lagi, selepas dimaklumkan tentang keputusan kabinet itu, beliau diarahkan agar memikul sepenuhnya tanggungjawab susulan kontroversi akibat pembatalan dakwat kekal.

"Dan saya dipanggil dan dimaklumkan tentang perkara itu dan saya diminta memikul sepenuhnya tanggungjawab kerana bersetuju memperkenalkan dakwat kekal itu (pada awalnya).

"Saya pikul tanggungjawab itu sepenuhnya."

abdul rashid ec chairman house red paint splashed 060308 repaint Beliau berkata, sebagai pengerusi SPR selama bertahun-tahun, beliau memikul "tanggungjawab" bagi keputusan-keputusan kontroversi yang telah diambil suruhanjaya tersebut.

Abdul Rashid, yang akan bersara Disember ini, telah terlibat dalam pengendalian pilihanraya di Malaysia selama tiga puluh tahun.

"Tidak mudah menjadi pengerusi SPR dan saya memang memikul tanggungjawab itu tetapi ia merosakkan saya dan rumah saya.

"Mereka mencampak cat merah pada rumah saya dan pintu pagar (foto kiri) ," katanya.

Pada 6 Mac, dua hari selepas membuat keputusan kontroversi itu, beberapa individu yang tidak dikenali membaling cat merah di luar rumahnya di Bukit Pantai, Kuala Lumpur - kejadian yang disifatkannya "bermotifkan politik." Berita asal

ADS