Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahrir: Bersiap sedia untuk p'raya baru
Diterbitkan:  May 19, 2008 3:45 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Ekoran pengumuman mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno, seorang menteri kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, negara mungkin akan berdepan dengan satu lagi pilihanraya umum.

shahrir samad 01 Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shahrir Samad, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata, keputusan Dr Mahathir amat mengejutkan dan mungkin mendorong ramai lagi turut meletakkan jawatan dan sekaligus memaksa Abdullah mengadakan pilihanraya umum baru.

Keputusan Dr Mahathir itu, tambahnya, boleh mengakibatkan situasi di mana ramai ahli Parlimen Umno mungkin turut meletakkan jawatan.

Jika itu berlaku, kata Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bahru, kerajaan tidak mempunyai pilihan, kecuali menubuhkan sebuah kerajaan baru atau mengadakan pilihanraya umum baru.

Beliau memberitahu AFP bahawa perkembangan tersebut pastinya tidak membantu keadaan dalam Umno sekarang, lebih-lebih lagi ketika pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar mengatakan beliau boleh menarik ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti.

Perkembangan tersebut, katanya, boleh mengurangkan jumlah ahli parlimen Umno yang menjadi parti memerintah sekarang.

Dr M akan hantar surat

Sementara itu, anak Dr Mahathir - Mokhzani - memberitahu AFP bahawa bapanya telah keluar dari Umno sebagai membantah kepimpinan berterusan Abdullah sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

"Beliau juga akan menulis surat kepada setiausaha agung Umno untuk memaklumkan mengenai keputusannya itu," katanya, sambil menambah, Dr Mahathir mengumumkan keputusannya ketika berucap di satu majlis di Kedah pagi tadi.

Dr Mahathir memegang kuasa selama 22 tahun sehingga tahun 2003 di mana beliau bersara dan menyerahkan kuasa kepada Abdullah.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini beliau mengecam hebat pentadbiran Abdullah dan sejak Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, beliau aktif berkempen mendesak Abdullah meletakkan jawatan.

ADS