Cukai taksiran di Selangor tidak dapat diturunkan seperti dijanjikan dalam pilihanraya umum lalu kerana pendapatan itu tidak dapat menampung perbelanjaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tinggi, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda bertitah, kerajaan negeri sekarang dalam usaha mencari jalan mengurangkan perbelanjaan tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan PBT.
Manifesto bersama PKR dan PAS Selangor dalam pilihanraya umum lalu antaranya menjanjikan pengurangan 20 peratus cukai pintu kediaman dan 10 peratus cukai premis komersial kepada pengundi jika berjaya mentadbir negeri itu.
"Sekiranya kerajaan negeri berjaya mengurangkan perbelanjaan PBT, beta berharap penjimatan ini dipulangkan kepada rakyat menerusi cukai taksiran yang lebih rendah," titah baginda ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.
Baginda bertitah lagi, kajian menyeluruh akan dilakukan bagi melihat perbelanjaan-perbelanjaan PBT yang tidak memperoleh nilai yang sewajarnya.
Walaupun rakyat Selangor akan mendapat air percuma untuk 20 meter padu pertama bermula Jun ini, mereka perlu berjimat, jika tidak mereka perlu membayar harga yang lebih tinggi, titah Sultan.
Menurut baginda, caj bagi pengguna meter individu bagi 20 meter padu berikutnya adalah RM1.03 bagi semeter padu dan RM2.00 bagi 35 meter padu selepas itu.
Caj sekarang, bagi 20 meter padu pertama yang akan diberikan percuma itu, kosnya adalah 57 sen semeter padu.
"Sebagai negeri yang mementingkan kebajikan rakyat, bekalan air bersih percuma ini adalah antara usaha kebajikan yang diperkenalkan oleh pentadbiran negeri ini," titah tuanku.
Kerajaan, tambahnya lagi, sedang mengkaji kemungkinan membangunkan sumber air dalam tanah bagi mempelbagaikan sumber bekalan air baru.
Sultan Sharafuddin turut menyatakan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu disebabkan kenaikan harga minyak.
Baginda khuatir kenaikan harga komoditi itu memberi kesan kepada harga barang keperluan asas.
Bagaimanapun, berdasarkan keadaan ekonom tahun lalu yang kekal dan konsisten, kerajaan negeri menganggarkan pertumbuhan ekonomi tahun ini akan berkembang 6.8 peratus berbanding 6.3 peratus pada tahun lalu, titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga menyeru golongan wanita memahami hak-hak mereka dan keluarga dari sudut perundangan.
"Beta berbangga melihat lebih ramai wanita di dalam tampuk pemerintahan beta.
"Ini membuktikan pencapaian lebih 30 peratus wanita dalam proses membuat keputusan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri beta dan meraka layak serta mampu diberikan amanah mentadbir negeri," titah baginda, dipercayai merujuk empat wanita daripada barisan 10 ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).
Sultan juga berharap perkhidmatan awam di negeri itu terus cekap dan melakukan proses penambahbaikan bagi mencipta lonjakan nilai demi untuk faedah rakyat.
"Beta juga difahamkan pentadbiran kerajaan negeri sedang melaksanakan peraturan bekerja lima hari seminggu tetapi sedang mengkaji cadangan untuk membuka perkhidmatan kaunter yang diperlukan untuk rakyat tujuh hari seminggu," titah baginda lagi.
Baginda turut menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan ajaran sesat di negeri itu dan terus mewajibkan amalan memberi tauliah kepada penceramah agama daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) demi mengatasi masalah tersebut.
Surau dan masjid pula tidak seharusnya dijadikan pentas berpolitik, titah baginda lagi.
Selain itu, baginda juga menyatakan rancangan kerajaan Selangor untuk meningkatkan taraf hidup golongan petani yang berpendapatan bawah RM1,500 agar memperolehi pendapatan lebih RM3,000 sebulan.
