Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Misteri "kehilangan" RM3 bilion wang royalti petroleum Terengganu dilaporkan kepada polis selepas ia disyaki melibatkan penyelewengan dan rasuah.

"Saya percaya telah berlaku suatu penyelewengan dalam pengurusannya dan ia mempunyai unsur-unsur jenayah yang perlu disiasat," kata Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dalam aduannya hari ini.

"Sebagai rakyat Terengganu, saya mempunyai hak dan tanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak polis tentang kehilangan RM 3 bilion tersebut yang merupakan kehilangan wang secara misteri yang tidak sepatutnya berlaku di dalam pentadbiran sesebuah kerajaan yang amanah," kata pengerusi Mampat, Mohd Fauzi Abu Samah.

terengganu oil money petrol Laporan polis itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Kuala Terengganu pagi tadi.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Fauzi menambah, keraguannya timbul selepas membaca kenyataan beberapa pihak di akhbar baru-baru ini, termasuk menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.

Kedua-dua tokoh ini dilaporkan tidak tahu-menahu "kehilangan" wang sejumlah itu selepas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Amirsham Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat minggu lepas bahawa negeri itu menerima RM7.3 bilion daripada Petronas.

Ahmad dilaporkan berkata Terengganu menerima RM4.3 bilion sahaja selama tiga tahun bermula 2004, selepas kerajaan negeri berjaya ditadbir semula oleh BN daripada PAS.

Sementara Idris, yang memimpin negeri itu dalam tempoh tersebut, pula mendakwa beliau tidak mengetahui jumlah sebenar wang kerana ia diuruskan oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan negeri "hanya dimaklumkan sebanyak RM1.3 bilion diberikan kepada Terengganu pada setiap tahun" dalam tempoh tersebut.

"Kita juga tidak pernah diberikan maklumat mengenai jumlah sebenar wang itu dibelanjakan dan baki yang ada," katanya kepada Sinar Harian .

Mohd Fauzi berkata Mampat akan membuat aduan isu tersebut kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak lama lagi.

ahmad said idris jusoh terengganu Badan gabungan ini turut melancarkan 'Kempen Selamatkan Royalti Terengganu, Kembalikan Hak dan Maruah' di Kuala Terengganu pada Sabtu ini.

"Riben hitam putih dan pelekat percuma akan diedarkan di samping mengambil tandatangan sokongan daripada rakyat Terengganu," katanya.

"Mampat juga bercadang mengembangkan kempen ini ke seluruh negara khususnya kepada anak Terengganu di Lembah Klang. Mampat mengalu-alukan keterlibatan NGO atau individu yang sedia bekerjasama bagi menjayakan kempen ini."

Mampat antara kumpulan penting berkempen untuk Ahmad dan menyokong pihak istana ketika wakil rakyat Kijal itu berdepan dengan krisis perebutan jawatan menteri besar Mac lalu.

Sebulan selepas dilantik menteri besar, Ahmad menggesa wang royalti 5 peratus diserahkan kembali kepada Terengganu daripada kerajaan persekutuan.

Wang ini ditadbir kerajaan pusat mulai 2000 dengan nama Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih popular disebut "wang ehsan".

ADS