Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan perincikan semula subsidi minyak
Diterbitkan:  May 24, 2008 3:16 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Kerajaan akan mengkaji semula dan membincangkan dengan terperinci skim subsidi minyak ekoran kenaikan mendadak harga komoditi bahan itu di pasaran dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi Selasa depan yang akan dipengerusikannya berikutan ketiadaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berada di luar negara untuk tugasan rasmi.

"Bila harga minyak naik begitu tinggi sekali, kita mahu tidak mahu, kita tidak ada pilihan melainkan untuk melihat pada skim subsidi itu dikaji semula.

"Ini supaya beban subsidi itu dapat dikurangkan kerana kita sudah sampai pada keadaan di mana jumlah subsidi tiap-tiap tahun untuk bahan minyak, gas dan keperluan lain sudah pun melebihi jumlah yang kita belanja untuk pembangunan

setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Khatam Al-Quran, Berkhatan dan Bertindik di Sekolah Kebangsaan Sri Maulana di Pekan, Pahang hari ini.

Menurut laporan Bernama, harga minyak mentah dunia melonjak kepada AS$138 setong semalam.

Najib, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Minyak, berkata kaedah subsidi yang baru untuk bahan minyak dan gas akan turut dibincangkan.

Skim baru

"Bila kita dah siap model baru (subsidi) kita akan umumkan tapi prinsipnya ialah bahawa mereka yang berpendapatan rendah akan terus mendapat subsidi yang pada tahap munasabah dan mereka yang berpendapatan tinggi atau menggunakan bahan minyak berlebihan akan terpaksa membayar pada harga yang lebih tinggi," katanya.

Najib berkata perlaksanaan skim baru subsidi itu tidak akan dilakukan secara mengejut sebaliknya secara berperingkat serta mengambil kira kemampuan rakyat.

Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan kenaikan kos lain termasuk bahan makanan ditangani.

"Kalau bahan makanan ini dapat dipertahankan maknanya rakyat tidak akan merasa bebannya," katanya.

Ditanya sama ada skim subsidi baru itu akan dikaji semula jika harga minyak dunia kembali turun, Najib berkata: "Kalau turun kita kaji baliklah tapi tidak ada tanda nak turun, tanda nak naik ada".

ADS