Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gelagat wakil PKR cetus kekecohan
Diterbitkan:  May 27, 2008 3:57 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Tindakan seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat menghampiri tempat duduk speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menimbulkan bantahan penyokong kerajaan yang berpendapat ia tindakan biadap dan tidak boleh dimaafkan.

n gobalakrishnan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) bertindak demikian untuk berbisik kepada Pandikar Amin bagi menjelaskan perkataan Tamil "ukker" (bererti duduk) yang disebut oleh timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Idris Haron semasa meminta Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) untuk duduk.

Gobalakrishnan mahu menjelaskan bahawa perkataan itu boleh membawa maksud berbeza jika tidak disebut dengan betul, demikian menurut laporan Bernama .

Tetapi tindakannya menghampiri Pandikar dibantah Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang bingkas bangun dan meminta Gobalakrishnan dihadapkan ke jawatankuasa untuk diadili kerana insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku, kerana menurutnya, "dewan bukan tempat untuk samseng".

"Saya tidak mahu soalan tambahan... saya sakit hati... saya mahu baca point of order (peraturan mesyuarat) 36 (12) iaitu perilaku anggota parlimen Padang Serai yang boleh mengelirukan dewan ini.

"Saya sudah tiga penggal di dewan ini, inilah pertama kali kejadian seperti ini berlaku," katanya yang disokong beberapa penyokong kerajaan yang lain.

Sebelum itu Pandikar Amin meminta semua bertenang memandangkan beliau sendiri tidak memahami maksud perkataan yang disebut oleh Idris.

'Salah sebut'

"Kita ada tiga minit lagi siaran langsung kalau semua yang berhormat berdiri kerana ada siaran langung saya faham... sebab itu saya biarkan saja tetapi janganlah buat hari-hari," katanya.

M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) tiba-tiba mencelah dengan menyatakan Idris telah menggunakan perkataan lucah dan perlu memohon maaf serta menarik balik kenyataannya itu.

Kulasegaran: "Bahasa lucah telah digunakan... mungkin Yang Berhormat tak tau nak sebutkan dengan betul. Kalau tak tau jangan gunakan perkataan itu kerana apabila salah sebut, ia membawa maksud lain."

Idris: "Kalau sebutannya salah, sila betulkan... sebutlah... Jika saya cakap lucah, silalah sebut yang betul, kalau salah sila betulkan, saya suruh duduk tak faham. Kalau faham, sila duduk".

Kulasegaran membalas: "Bila saya sebut... boleh awak mengaku tak?"

Idris kemudian menggunakan perkataan Mandarin pula yang juga bermaksud duduk.

Kekecohan reda apabila ketua whip PKR Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) bangun dan meminta Gobalakrishnan untuk meminta maaf dan berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi di dewan yang

mulia itu.

Minta maaf

"Setelah saya merujuk kepada ketua pembangkang, saya selaku ketua whip dengan ini memohon Yang Berhormat Padang Serai untuk bangun meminta maaf atas tindakan sebentar tadi," katanya.

Gobalakrishnan terus bangun dan meminta maaf kerana tindakan itu yang menurutnya dilakukan tanpa disedari.

Pandikar Amin mengingatkan semua wakil rakyat jangan menggunakan perkataan yang "unparliamentary" (kata-kata yang tidak sesuai) tetapi semua masih menggunakannya.

"Sehingga Padang Serai keluar dari tempat duduk dan berbisik apa maksud perkataan itu... dia tidak payah kasi tau sama saya... saya cakap jangan gunakan perkataan yang boleh dipertikaikan, tindakan

Padang Serai juga satu tindakan "unparliamentary".

"Lama-lama Parlimen kita akan jadi macam Parlimen negara lain sehingga pembangkang dan wakil kerajaan melempar kasut, buku, kerusi.

"Speaker juga diserang, nasib baik yang berhormat Padang Serai, tidak serang dia cuma berbisik," katanya.

ADS