Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rugi haramkan Islam hadhari
Diterbitkan:  May 28, 2008 11:42 AM
Dikemaskini: 4:18 AM

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyifatkan langkah Selangor mengharamkan program berkaitan Islam hadhari merugikan umat Islam.

Yang dipertuanya Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, konsep itu yang diperkenalkan oleh perdana menteri bertujuan memajukan pemikiran umat Islam, meliputi semua bidang yang mengambil kira kedudukan masyarakat majmuk di negara ini.

"Islam Hadhari adalah satu pendekatan dan satu kaedah bagaimana kita hendak melaksanakan tuntutan-tuntutan al-Quran dan sunnah yang mana kita tahu bahawa ajaran sunnah itu bukan untuk orang Islam sahaja, tetapi termasuk kepada orang-orang bukan Islam," katanya semalam, lapor Bernama .

Sementara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan arahan itu tidak wajar kerana pendekatan Islam hadhari yang mengandungi 10 prinsip "tiada cacat celanya".

Ketua pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata satu persidangan Islam di Putrajaya tahun lepas yang dihadiri lebih 90 ulama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan 1,000 ulama yang menghadiri multaqa alumni al-Azhar awal tahun ini, "telah sepakat menerima pendekatan Islam hadhari".

Beliau juga dilaporkan para ulama dunia itu turut menyarankan supaya negara-negara Islam lain mencontohi pendekatan Malaysia.

"Justeru, adalah amat malang jika masih ada pihak di kalangan kita yang tidak menerima pelaksanaan pendekatan Islam hadhari yang telah diterima pakai oleh ulama di peringkat antarabangsa," beliau dipetik sebagai berkata.

Selepas Selangor, Pulau Pinang berhasrat melarang sebarang bentuk program mempromosikan Islam hadhari.

"Negeri (Pulau Pinang) akan mengambil tindakan yang sama dalam masa terdekat," kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada Malaysiakini semalam.

Tarikh pelaksanaannya bagaimanapun tidak dinyatakan.

Beliau bersetuju dengan langkah yang diambil oleh exco hal-ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali seperti diumumkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin .

Semua masjid dan surau di Selangor diarah tidak mengadakan sebarang program yang menyentuh konsep Islam itu yang diperkenal perdana menteri sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari," katanya.

ADS