Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Islam hadhari: Perak digesa contohi S'gor, P Pinang
Diterbitkan:  May 28, 2008 3:09 PM
Dikemaskini: 5:21 PM

Perak disaran mengikut jejak langkah kerajaan Selangor dan Pulau Pinang mengharamkan program dan promosi yang ada kaitan dengan konsep Islam hadhari yang diperkenalkan oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Saranan tersebut dibuat oleh Pemuda PAS kawasan Ipoh Timur dan Pasir Salak hari ini.

"Kami menyarankan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Perak supaya mengambil pendirian yang sama bagi mengembalikan ajaran Islam yang sebenar," kata dua kawasan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh ketua Pemuda PAS Ipoh Timur, Salman Salleh dan ketua Pemuda kawasan Pasir Salak, Zamarul Aini Abd Malik.

"Bagi kami Islam hadhari amat menyalahi prinsip sebenar Islam kerana ajaran Islam sekarang sudah sempurna seluruhnya.

"Kami amat yakin bahawa Islam yang telah kita amalkan dari dahulu dan hari ini, tidak berubah dan sudah cukup," kata mereka lagi.

Berikutan itu, mereka menyarankan supaya semua masjid dan surau tidak dibenar mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada kaitan dengan Islam hadhari.

"Kami juga menegaskan supaya semua pihak menghormati keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Perak kelak untuk memastikan agama Islam didaulat di tempat yang terbaik," katanya.

Mufti Perak semalam dilaporkan berkata kerajaan Selangor, satu daripada lima negeri Pakatan Rakyat, tidak wajar mengharamkan program berkonsepkan Islam hadhari.

Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut boleh mengelirukan umat Islam terhadap konsep Islam tersebut yang diperkenalkan perdana menteri.

"Saya rasa kita kena faham betul-betul dahulu tentang konsep Islam Hadhari itu sebelum mengambil tindakan.

"Apa yang saya faham setelah berbincang dengan perdana menteri dahulu, Islam hadhari menepati tujuan Islam... Antara yang wajib adalah memperkasakan agama, akal, jiwa, keturunan dan harta.

"Namun, ulama telah menambah untuk memperkasakan akhlak juga.

"Islam hadhari boleh diambil sebagai sifat kemajuan Islam. Saya rasa tak salah kita gunakan konsep tersebut untuk memajukan Islam," katanya kepada mStar Online .

ADS