Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JIM: Baju bukan punca gangguan seks
Diterbitkan:  May 29, 2008 9:04 PM
Dikemaskini: 10:36 PM

Berbeza dengan dua lagi kumpulan Islam, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) tidak bersetuju baju pelajar perempuan ditukar dengan alasan ia boleh mengundang gangguan dan jenayah seks.

Ketua wanita pertubuhan itu Dr Harlina Halizah Siraj berkata, tidak ada sebab pelajar perlu memakai baju kurung berwarna seperti saranan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) minggu lepas.

budak sekolah seragam baju 210508 "Baju kurung seragam berwarna putih telah sekian lama dipakai tanpa menimbulkan sebarang masalah.

"Masalah sosial dan gejala seksual yang semakin meruncing di kalangan pelajar sebenarnya berpunca dari krisis nilai, hakisan pegangan agama dan moral yang sedang hebat melanda masyarakat kini," katanya, lapor Bernama .

Bercakap di sidang akhbar hari ini, Dr Harlina mengulas gesaan PKPIM Khamis lepas yang menggesa baju putih pelajar perempuan diganti kerana jarang dan membawa gangguan seks kepada mereka.

Bersetuju dengan saranan persatuan pelajar itu, Muslimat PAS pula berkata isunya bukan warna baju tetapi jenis kain yang jarang dan menarik perhatian.

"Kita tidak dapat menafikan bahawa material (bahan) kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya apabila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka (sekiranya dilabuhkan sedikit)," kata setiausaha dewan itu Aiman Athirah Al Jundi awal minggu ini.

"Apatah lagi sekiranya mereka hanya memakai coli tanpa mengenakan singlet dalam. Lebih ketara apabila warna pakaian dalam mereka lebih terang atau kontra dengan seragam putih yang mereka pakai.

"Lebih malang bagi pelajar perempuan ialah apabila hari hujan."

Dr Harlina bagaimanapun berkata beliau tidak menafikan segelintir pelajar memakai baju kurung yang agak jarang tanpa memakai pakaian dalam atau bertudung yang sempurna sehingga menampakkan baju dalam dan susuk tubuh.

"Golongan pelajar inilah yang harus diberi didikan dan dinasihati ibu bapa, golongan dewasa dan guru melalui pendekatan berhemah tetapi berkesan supaya menyedari tanggungjawab mereka menghormati tubuh badan sendiri," beliau dipetik sebagai berkata.

sekolah menengah high school girls uniform Tambahnya, pelajar lelaki juga harus bertanggungjawab dalam hubungan antara jantina dan unsur-unsur lucah dalam media termasuk internet haruslah dikawal agar tidak memberi kesan negatif kepada minda remaja.

Saranan naib presiden hal ehwal wanita PKPIM, Munirah Bahari mengundang perdebatan kerana tidak ramai yang bersetuju dengan baju sekolah sekarang "seksi" dan boleh mendatangkan gangguan serta jenayah seks.

Sabtu lepas, menteri pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menganggap pakaian kini tidak seksi.

Beliau juga berkata kementerian tidak berhasrat membuat pertukaran seragam itu dalam tempoh terdekat seperti gesaan persatuan pelajar tersebut.

Munirah berkata baju putih sangat jarang dan menyebabkan ada daya tarikan.

"Lebih-lebih lagi ia (baju jarang) akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan.

"Di sinilah punca yang boleh kita saksikan bahawa pelajar perempuan itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya.

"Oleh itu terjadilah perkara-perkara seperti pencabulan, penzinaan dan sebagainya," katanya.

ADS