Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPIM: Biasiswa untuk semua
Diterbitkan:  May 30, 2008 12:12 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membantah langkah kerajaan menaikkan kuota biasiswa untuk bukan bumiputera sehingga 45 peratus dengan mencadangkan peruntukan biasiswa diberikan kepada semua.

"PKPIM bertegas bahawa kuota 45 peratus harus dihapuskan," kata presidennya Mohd Hilmi Ramli.

Beliau tidak bersetuju kerajaan menggunakan isu kuota untuk menangani tuntutan biasiswa dalam kalangan bukan bumiputera.

"Dengan bermain dengan kuota, sebenarnya kerajaan mencipta jarak yang lebih jauh dalam menangani isu rakyat Malaysia secara menyeluruh, iaitu antara bumiputera dan bukan Bumiputera," katanya.

pkpim and university students "Kerajaan tidak sewajarnya mendiskriminasi mereka yang layak di kalangan bukan bumiputera."

Persatuan pelajar itu juga mencadangkan biasiswa diberikan semua pelajar bumiputera kerana hak tersebut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan harus menunaikan hak mahasiswa bumiputera untuk menerima biasiswa tanpa berkecuali seperti termaktub dalam Perlembagaan," katanya.

Kerajaan kelmarin mengumumkan pengenalan dasar baru itu untuk biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program ijazah luar negara berkuatkuasa mulai tahun ini.

Langkah menaikkan peluang tersebut, yang asalnya dengan peratusan 10 bukan bumiputera dan 90 untuk bumiputera, dibantah oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), sebuah pertubuhan yang dekat dengan PKPIM.

Abim semalam menyifatkan keputusan kerajaan itu tidak akan "mewujudkan keadilan sosial" di negara ini kerana kuota biasiswa 90 peratus untuk bumiputera "tidak tepat dan tersasar daripada matlamat" dalam Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub sebagai keistimewaan Melayu.

Setiausaha agung Abim, Khairul Arifin Mohd Munir berkata kadar kemiskinan dalam kalangan bumiputera juga tinggi dan mereka khususnya di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam bidang profesional.

ADS