Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semak 45% kuota bukan bumiputera
Diterbitkan:  Jun 2, 2008 11:55 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyeru kerajaan mengkaji semula langkah memberi 45 peratus peruntukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada bukan bumiputera, mengulangi kebimbangan beberapa organisasi bumiputera sejak minggu lalu.

Presiden GPMS Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, GPMS mahu keputusan tersebut wajar diteliti semula secara menyeluruh selepas ia dihujani banyak panggilan dari seluruh negara yang meminta penjelasan lanjut berkenaan perkara tersebut.

"GPMS percaya dan berpegang kepada prinsip meritokasi namun mengharapkan ia dilaksanakan dengan semangat dan mekanisme yang betul dan tepat.

"Penganugerahan biasiswa perlu mengambil kira bukan sahaja soal merit pencapaian, tetapi juga persoalan merit sosioekonomi rakyat agar pembukaan ruang untuk memperolehi pendidikan lebih tinggi menjurus kepada kumpulan sasar yang tepat dalam masyarakat Malaysia," lapor Bernama yang memetik satu kenyataannya semalam.

Rabu lalu, Kerajaan mengumumkan pengenalan dasar baru bagi pelajar program ijazah luar negara yang berkuatkuasa mulai tahun ini.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sehari selepasnya menyifatkan langkah itu tidak akan memberikan "keadilan sosial" dan bercanggahan pula dengan semangat hak keistimewaan Melayu.

Langkah menaikkan peluang tersebut, yang asalnya dengan peratusan 10 bukan bumiputera dan 90 untuk bumiputera, adalah "tidak tepat dan tersasar daripada matlamat" dalam Perlembagaan Persekutuan, kata setiausaha agungnya Khairul Arifin Mohd Munir.

"Mengambil kira tiga faktor, sudah pasti menaikkan peratusan pembahagian biasiswa (untuk) bukan bumiputera kepada 45 peratus, iaitu peratusan hampir sama dengan bumiputera, sama sekali tidak mencerminkan sebuah dasar yang dilaksanakan ke arah mewujudkan keadilan sosial di negara ini," katanya, .

Faktor-faktor tersebut, tambahnya, jumlah penduduk bumiputera lebih tinggi, kadar kemiskinan dalam kalangan bumiputera juga tinggi, dan mereka khususnya di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam bidang profesional.

Khamis lepas, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula membantah keputusan menaikkan kuota untuk bukan bumiputera dengan mencadangkan peruntukan biasiswa diberikan kepada semua.

"PKPIM bertegas bahawa kuota 45 peratus harus dihapuskan," kata presidennya Mohd Hilmi Ramli.

Beliau tidak bersetuju kerajaan menggunakan isu kuota untuk menangani tuntutan biasiswa dalam kalangan bukan bumiputera.

"Dengan bermain dengan kuota, sebenarnya kerajaan mencipta jarak yang lebih jauh dalam menangani isu rakyat Malaysia secara menyeluruh, iaitu antara bumiputera dan bukan Bumiputera," katanya.

"Kerajaan tidak sewajarnya mendiskriminasi mereka yang layak di kalangan bukan bumiputera."

Persatuan pelajar itu juga mencadangkan biasiswa diberikan semua pelajar bumiputera kerana hak tersebut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan harus menunaikan hak mahasiswa bumiputera untuk menerima biasiswa tanpa berkecuali seperti termaktub dalam Perlembagaan," katanya.

ADS